HomeBeritaSalah faham punca 5 lelaki merusuh di depan restoran

Salah faham punca 5 lelaki merusuh di depan restoran

JOHOR BAHRU: Perselisihan faham dipercayai menjadi punca pergaduhan membabitkan lima lelaki, sehingga membawa kepada rusuhan dalam kejadian di hadapan sebuah restoran di Bandar Baru Permas Jaya, Masai, di sini pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya memperoleh maklumat mengenai satu video tular di media sosial pada Selasa lalu kira-kira jam 1.45 tengah hari, menerusi akaun pengguna Facebook bernama ‘thye teng lim’ berhubung kes tersebut.

Beliau berkata, polis menerima laporan polis pada hari sama, yang menyaksikan kumpulan warga tempatan berkenaan merusuh dan menggunakan kayu rotan dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira jam 2.27 petang.

Bertindak atas maklumat, katanya, sepasukan polis dari Balai Polis Permas Jaya bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Johor Bahru Selatan, membuat serbuan di empat lokasi berbeza di sekitar negeri berkenaan.

“Hasil serbuan itu, polis menangkap lima suspek terbabit yang berusia dalam lingkungan 17 hingga 43 tahun.

“Dalam serbuan ini, polis turut membuat rampasan dua telefon bimbit pelbagai jenis dan dua kayu rotan,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Raub berkata, hasil semakan mendapati, empat suspek tidak mempunyai rekod lampau, manakala seorang lagi memiliki dua kes dadah dan satu kes jenayah.

“Kelima-lima suspek menjalani pemeriksaan ujian saringan air kencing dan didapati negatif daripada sebarang jenis dadah.

“Mahkamah Johor Bahru membenarkan semua suspek untuk ditahan reman,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Daerah Johor Bahru Selatan di 016-4831003 atau pegawai penyiasat kes di 013-5781125.

Author

Pilihan Editor