MELAKA: Seorang lelaki ditahan polis selepas bertindak memukul jirannya yang merupakan warga emas di Tanjung Kling, di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian jam 1.20 petang itu, pengadu seorang wanita berusia 76 tahun telah berjumpa dengan pemilik rumah inap desa.
Beliau berkata, berlaku pertengkaran mulut antara pengadu dengan cucu kepada pemilik rumah inap desa yang berusia 26 tahun itu.
“Pengadu menegur tindakan suspek yang membakar sampah secara terbuka di kawasan tanah pengadu sehingga menyebabkannya sesak nafas kerana asap yang banyak.
“Secara tiba-tiba, suspek meluru ke arah pengadu dan menumbuk beberapa kali di muka,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Jelasnya, semasa pengadu cuba melarikan diri, suspek telah memukul belakang kepala sehingga menyebabkan pengadu terjatuh dan mengalami kecederaan.
Christopher berkata, suspek turut mengugut mahu memukul pengadu lagi dengan menggunakan kayu, namun pengadu bertindak lari ke dalam rumah.
“Akibat dipukul, pengadu mengalami sakit pada belakang kepala, muka, leher dan belakang badan,” ujarnya.
Bertindak atas maklumat, suspek telah ditahan pada jam 12.10 tengah malam Ahad bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan.
Orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut.