HomeBeritaLelaki lari serbuan polis ditemui lemas di Bachok

Lelaki lari serbuan polis ditemui lemas di Bachok

BACHOK: Gara-gara cuba melarikan diri ketika diserbu pihak polis, seorang lelaki ditemukan lemas selepas terjun ke dalam sungai di Jeti Pengkalan Petah, di sini pada Rabu.

Ketua Polis Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, mangsa berusia 39 tahun itu cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam sungai dari bot nelayan yang dinaiki dan cuba berenang ke tebing sungai sebelum tenggelam.

“Berdasarkan laporan diterima pada 4.36 petang semalam (Rabu), mangsa cuba melarikan diri dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik yang menjalankan Op Tapis Khas,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Ismail, operasi mencari dan menyelamat dijalankan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bachok bagi mengesan mangsa.

Menurutnya, operasi mencari berjaya menemukan mangsa pada 7 malam iaitu pada jarak 10 meter dari lokasi kejadian.

“Pengecaman mayat juga turut dibuat oleh abang mangsa dan semakan rekod polis mendapati mangsa mempunyai enam rekod kesalahan berkaitan dadah.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik HRPZ II untuk bedah siasat dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, hasil serbuan yang dijalankan, polis menahan dua lagi suspek lain di Jeti Pengkalan Petah tersebut di bawah Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya dan dua lagi tangkapan di Jeti Kemasin mengikut Seksyen 15(1) akta sama.

Jelasnya, semua suspek dibawa ke IPD Bachok untuk tindakan lanjut.

Author

Pilihan Editor