SEKURANG-KURANGNYA 28 orang terbunuh, manakala puluhan lagi cedera akibat dua letupan bom di wilayah Balochistan, dekat barat daya Pakistan pada Rabu.
Letupan bom itu dilakukan sehari sebelum pilihan raya umum negara tersebut.
Serangan itu menyasarkan pejabat pilihan raya parti politik di wilayah bergolak berkenaan.
Letupan pertama dilaporkan berlaku di pejabat calon bebas, Asfandyar Khan Kakar dekat daerah Pishin, berhampiran sempadan Afghanistan.
Menurut Menteri Penerangan sementara, Jan Achakzai, serangan itu mengakibatkan 16 orang maut manakala lebih 20 lagi cedera.
Jan berkata, letupan itu merupakan hasil daripada bom buatan tangan yang dipasang pada motosikal.
Sementara itu, beliau berkata, letupan kedua berlaku di Qilla Saifullah, berhampiran pejabat Jamiat Ulama Islam (JUI) – parti agama yang sebelum ini menjadi sasaran serangan.
Kira-kira 12 orang terbunuh dan beberapa lagi mengalami kecederaan dalam serangan terbabit.
Angkara ISILÂ
Pada hari sama, Kumpulan Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL) mengakui bahawa, mereka merupakan pihak bertanggunggjawab melakukan kedua-dua serangan itu.
Pengakuan itu dibuat menerusi kenyataan yang dimuat naik di aplikasi Telegram.
Pada masa sama, Pejabat Luar Pakistan menerusi kenyataan memaklumkan, sempadan negara itu dengan Iran dan Afghanistan akan ditutup sehingga Jumaat, demi menjamin keselamatan ketika pilihan raya.
Risiko keselamatan
Serangan bom itu telah menimbulkan kebimbangan mengenai risiko keselamatan ketika hari mengundi pada Khamis.
Selain itu, pihak berkuasa menegaskan akan meningkatkan langkah keselamatan di pusat mengundi.
Puluhan ribu anggota polis dan tentera telah pun dikerahkan untuk menjaga keselamatan di seluruh Pakistan, dalam usaha untuk mengelakkan serangan daripada berulang.
Jan turut mengumumkan tempoh berkabung selama tiga hari, namun pilihan raya tetap akan berlangsung mengikut jadual.
“Kami menggesa orang ramai menggunakan hak mereka untuk mengundi seterusnya menolak gesaan pihak yang mahu pilihan raya ini ditangguhkan,” katanya seperti dilapor Al Jazeera.
Isnin lalu, puluhan pengganas menyerang sebuah balai polis di utara Pakistan, membunuh sekurang-kurangnya 10 pegawai.
Serangan itu berlaku hanya beberapa hari sebelum rakyat Pakistan mengundi dalam pilihan raya umum, yang menyaksikan puluhan serangan terhadap calon dan penyokong parti.
Pada minggu lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan memaklumkan bahawa pengundian akan diteruskan seperti yang dirancang pada Khamis, selepas ia mengadakan pertemuan tergempar dengan pegawai keselamatan berikutan beberapa keganasan di wilayah Khyber Pakhtunkhwa dan Balochistan.