KUALA LUMPUR: Dunia hiburan tanah air kecoh apabila dua selebriti tempatan ditangkap khalwat, di sebuah kondominium mewah dekat ibu negara pada Jumaat malam.
Lapor Harian Metro, Aliff Aziz dan Ruhainies bagaimanapun sudah dibebaskan dengan jaminan, sementara menanti pendakwaan pada satu tarikh lain.
Menurut sumber, pasangan terbabit yang dibawa ke pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), di sini, awal pagi Sabtu dibenarkan meninggalkan pejabat itu pada kira-kira jam 2 petang.
Terdahulu, kira-kira jam 12 tengah hari, tiga kereta jenis Toyota Alphard, Honda Civic dan Perodua Myvi bersama lima individu dipercayai ahli keluarga mereka hadir ke pejabat itu untuk mengambil kedua-dua pasangan ini.
Kira-kira jam 1.30 tengah hari, pengawal membenarkan kenderaan Toyota Alphard memasuki pejabat secara mengundur dipercayai untuk mengambil salah seorang daripada pasangan itu.
Kenderaan itu meninggalkan JAWI pada jam 1.48 tengah hari, manakala kereta Honda Civic yang dipercayai milik pelakon wanita itu pula memasuki pejabat JAWI juga secara mengundur dan hanya keluar pada jam 1.53 tengah hari, diiringi Perodua Myvi yang menanti untuk ke lokasi yang tidak diketahui.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan bahawa, pelakon dan penyanyi berstatus suami orang dan pasangannya seorang pelakon wanita dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan.
Adik kepada Bella Astillah iaitu Didi Astillah kemudian mengesahkan pelakon lelaki tersebut merupakan abang iparnya, Aliff.