CYBERJAYA: Malaysia memerlukan seramai 25,000 pekerja profesional keselamatan siber menjelang 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hal itu berikutan negara ini kekurangan seramai 12,000 pekerja dalam bidang tersebut.
Ketika berucap pada majlis pembukaan Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber (CCoE) Blackberry, di sini pada Selasa, Anwar berkata, penubuhan pusat itu di Malaysia berpotensi untuk menjadi destinasi antarabangsa dalam menangani ancaman siber yang kian meningkat.
Jelasnya, universiti, institusi penyelidikan dan pengamal mahir dari Malaysia serta Kanada boleh dihimpunkan untuk berkongsi pengetahuan, risikan ancaman, seterusnya bersama-sama membangunkan kaedah selain strategi untuk mengukuhkan daya tahan siber nasional dan serantau.
Beliau berkata, CCoE merupakan peristiwa penting dalam perjalanan negara ke arah mewujudkan ekosistem keselamatan siber yang teguh serta memerlukan perkongsian kukuh merentas sektor awam dan swasta.
“Menuju ke arah persekitaran digital yang lebih selamat, kita boleh bekerjasama untuk membangunkan rancangan yang menggalakkan perkongsian maklumat dan pertukaran kepakaran antara agensi kerajaan, dan pihak berkepentingan lain termasuk berkongsi perisikan ancaman yang boleh diambil tindakan,” katanya.
Sebagai lokasi yang dipilih untuk penubuhan CCoE, Anwar berkata, Malaysia berhasrat untuk mencapai matlamat bersama, bagi mewujudkan ekosistem kemahiran dan pembelajaran yang berdaya saing di peringkat global di rantau Indo-Pasifik.
“Dengan menjalin perkongsian antarabangsa, khususnya yang memanfaatkan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin, menunjukkan kepentingan dalam pertumbuhan positif trajektori ekonomi kita.
“Melalui kerjasama strategik ini, kita bukan sahaja merangsang kemajuan dan kemakmuran ekonomi, tetapi juga meningkatkan daya tahan infrastruktur keselamatan siber kita terhadap pelbagai risiko yang melanda landskap digital, dengan memastikan data negara, perbualan dan rakyat selamat,” ujarnya.
Dalam ucapan sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan telah berusaha keras untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang mencatatkan peningkatan RM329.5 bilion pada 2023, paras tertinggi dalam sejarah.
Beliau berkata, jumlah itu memberi petanda baik untuk 2024 dan mencerminkan peningkatan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.
“Usaha ini akhirnya akan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat, seiring dengan Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat.
“Di bawah kerangka kerja ini, kerajaan juga telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk membantu mempercepatkan pertumbuhan perusahaan dan perkhidmatan untuk meningkatkan produktiviti mereka dengan ketara serta mengembangkan kecekapan keselamatan siber Malaysia dalam domain digital,” katanya.
Turut hadir pada majlis sama adalah, Menteri Penggalakan Eksport, Perdagangan Antarabangsa dan Pembangunan Ekonomi Kanada, Mary Ng dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.