PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi sokongan yang tulus dan sejati terhadap petisyen Datuk Seri Najib Razak berhubung Titah Adendum YDP Agong mengenai tahanan rumah.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua UMNO Bahagian Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din ketika menyaksikan Ahmad Zahid menandatangani afidavit sokongan beliau pada 9 April lalu.
Megat yang juga Setiausaha Politik kepada Ahmad Zahid berkata, tandatangan itu dilakukan kurang daripada 24 jam beliau pulang dari menunaikan umrah.
“Sekilas saja ingatan saya terus melayang tatkala Mahkamah Persekutuan (23 Ogos 2022) memerintahkan Datuk Seri Najib dihantar ke Penjara Kajang, masih terngiang nama Ahmad Zahid yang pertama keluar dari mulut ‘Bossku’ (gelaran buat Najib).
“Datuk Seri Ahmad Zahid yang terpampang di galeri awam mahkamah bingkas bangun mendapatkan ‘Bossku’.
“Genggaman erat tangan dua sahabat walaupun terlepas apabila Bossku diiringi untuk ke Penjara Kajang, namun tali persahabatan kedua mereka tidak putus.
“Sejak dari itu, Datuk Seri Zahid tidak pernah berhenti melakukan usaha demi sahabatnya yang dipenjara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis.
Terdahulu, Ahmad Zahid dalam afidavitnya memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, beliau diberitahu mengenai kewujudan titah itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, dalam pertemuan di rumahnya di Country Heights dekat Kajang, Selangor pada 30 Januari lalu.
“Beliau menunjukkan kepada saya salinan Titah Adendum itu pada telefonnya yang beliau ambil gambar dan imbas sendiri daripada salinan asal seperti ditunjukkan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah).
“Kandungan Titah Adendum secara jelas menyatakan bahawa pemohon (Najib) dibenarkan untuk menjalani hukumannya yang dikurangkan, kepada tahanan rumah dan bukannya secara pemenjaraan seperti sekarang di Penjara Kajang.
“Saya juga melihat Titah Adendum itu bertarikh 29 Januari 2024 yang mempunyai meterai dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong ke-16. Saya seterusnya mengesahkan bahawa Titah Adendum itu adalah tulen dan sebenarnya adalah Titah Prerogatif Diraja sama seperti Titah Utama,” katanya dalam afidavit berkenaan.
Dalam hantaran sama, Megat Zulkarnain berkata, sokongan Ahmad Zahid terhadap Najib sekali gus menolak dakwaan bahawa beliau tidak pernah berbuat apa-apa untuk membela bekas Perdana Menteri itu.
“Mengenali Datuk Ahmad Zahid sedekah yang dihulur pun tak pernah nak dijaja, apatah lagi langkah membela sahabat sejatinya.
“Walau ada yang bertanya apa Zahid buat untuk membela ‘Bossku’?
“Cukup untuk saya menyebut sebagai orang yang sering menjadi perantara dan sebagai seorang yang amat rapat dengan Datuk Seri Najib serta keluarganya, tidak ada satu ruang perundangan mahu pun rundingan yang dilepaskan oleh Datuk Ahmad Zahid untuk membela nasib ‘Bossku’,” katanya sambil menambah bahawa, tindakan Ahmad Zahid itu dibuat atas sifat keikhlasan dan kesetiaan.