HomeSukanSertai Kejohanan Sorak Dunia, KBS sumbang RM80,000 kepada CHARM

Sertai Kejohanan Sorak Dunia, KBS sumbang RM80,000 kepada CHARM

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mengambil inisiatif untuk menyumbangkan sebanyak RM80,000 kepada Persatuan Sorak dan Daftar Malaysia (CHARM).

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, sumbangan itu diberikan sebelum CHARM berlepas ke Orlando, Amerika Syarikat (AS) untuk menyertai Kejohanan Sorak Dunia 2024.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM50,000 diberikan KBS untuk CHARM menyertai kejohanan berkenaan.

Manakala, RM30,000 lagi merupakan peruntukan menteri sebagai sokongan untuk aktiviti mereka.

Hannah berkata, jumlah RM50,000 yang diluluskan melalui Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWSAN) merupakan satu daripada inisiatif dana yang diperuntukkan di bawah KBS.

“Pasukan ini terdiri daripada 20 orang atlet berumur antara 12 hingga 15 tahun, dua jurulatih dan seorang pengurus pasukan.

“Apabila belia kita terlibat daÅ‚am sukan, mereka akan belajar berpasukan, menyokong satu sama lain dan bermain mengikut peraturan.

“Dengan ini, pembinaan negara akan berlaku. Patriotisme bermula di sini,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Kejohanan yang akan berlangsung mulai 24 hingga 29 April itu menandakan ulang tahun ke-21, dengan 10,000 atlet dari 80 negara berkumpul di bawah naungan International Cheer Union (ICU).

Sorak telah dimasukkan dalam senarai sukan yang diwartakan dan diiktiraf di bawah Jadual Pertama Akta Pembangunan Sukan 1997 mulai 10 Mac 2023.

Author

Pilihan Editor