HomeGlobalLelaki bakar diri di luar mahkamah bicara kes Donald Trump

Lelaki bakar diri di luar mahkamah bicara kes Donald Trump

SEORANG lelaki bertindak nekad membakar dirinya di luar Mahkamah New York di mana perbicaraan bagi kes bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sedang berjalan.

Kejadian berlaku pada petang Jumaat sejurus pemilihan akhir juri dilakukan dan mahkamah bersedia untuk bersidang.

Rakaman video menunjukkan seorang lelaki sedang melutut dengan tangan berada di belakang kepalanya sedang terbakar.

Lelaki itu kemudiannya tumbang ke tanah selepas lebih kurang seminit dan api kemudiannya dipadamkan oleh pegawai polis.

Insiden itu disiarkan secara langsung oleh beberapa rangkaian berita Amerika Syarikat (AS), termasuk Fox dan CNN, lapor RT.

Lelaki berkenaan dikenal pasti polis sebagai Max Azzarello berasal dari St. Augustine, Florida, dilaporkan telah diselamatkan dan berada dalam keadaan kritikal.

Menurut Jabatan Polis New York, lelaki berkenaan dilihat tidak menyasarkan Trump atau orang lain yang terlibat di dalam perbicaraan itu.

Polis mengklasifikasikan Azzarello sebagai ahli teori konspirasi.

Saksi memberitahu CNN bahawa Azzarello mengeluarkan risalah dari begnya dan melemparkannya ke udara sebelum dia bertindak menyiram dirinya dengan minyak petrol dan menyalakan api.

Kejadian berlaku pada hari keempat perbicaraan kes jenayah Trump yang dituduh memberi wang kepada pelakon lucah, Stormy Daniels.

Trump mendakwa perbicaraan itu bermotif politik dan dirancang oleh Presiden Joe Biden bagi menggugurkan kelayakan beliau bertanding sebelum pemilihan presiden pada November.

Mahkamah di pusat bandar Manhattan itu dikawal ketat oleh polis, menarik ramai penunjuk perasaan hadir sejak hari pertama perbicaraan.

Author

Pilihan Editor