HomeBeritaBekas KPN meninggal dunia

Bekas KPN meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meninggal dunia pada usia 85 tahun, jam 2.15 pagi Sabtu.

Perkara itu dimaklumkan oleh anak Allahyarham, Abdul Rahmat Omar menerusi kenyataan ringkas.

“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un.

“Saya, Abdul Rahmat Omar bin Mohamed Haniff, ingin memaklumkan pemergian pulang ke Rahmatullah Ayahanda kami yang dikasihi, Tun Haji Mohammed Hanif bin Omar sekitar jam 2.15 pagi tadi, Sabtu 20 April 2024,” katanya.

Difahamkan, Allahyarham meninggal dunia akibat sakit buah pinggang, manakala pengurusan jenazah akan dilakukan di Masjid Al-Ikhlas Seksyen 13, Shah Alam, Selangor.

Jenazah juga dijangka dibawa ke Masjid Bukit Aman, Kuala Lumpur sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, Damansara.

Untuk rekod, Mohammed Hanif yang dilahirkan pada 16 Januari 1939 di Teluk Intan, Perak merupakan Ketua Polis Negara termuda iaitu berusia 35 tahun ketika dilantik pada 1974.

Ketua Polis Negara keempat itu menggantikan Tan Sri Abdul Rahman Hashim yang terbunuh dalam serangan komunis.

Memulakan kerjaya sebagai Kadet Penolong Penguasa Polis pada tahun 1959, Mohammed Hanif dilantik selaku Ketua Polis Melaka pada 7 September 1970, dan Ketua Polis Selangor pada 6 Disember 1971.

Pada 1 Februari 1973, beliau menjadi Timbalan Ketua Polis Negara.

Selepas bersara pada tahun 1994, beliau dilantik sebagai ahli Suruhanjaya Memantapkan Pengurusan dan operasi-operasi PDRM 2004-2005.

KPN, Timbalan KPN ucap takziah

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Tun Mohammed Hanif.

Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan seluruh warga PDRM turut menyampaikan ucapan takziah.

“Semoga roh Allahyarham Tun Mohammed Hanif dicucuri rahmatNya dan ditempatkan bersama orang-orang beriman serta beramal soleh,” katanya dalam hantaran tersebut.

 

 

Author

Pilihan Editor