HomeSukanSeparuh akhir ke-2 Liga M3 dianjak ke 11 September

Separuh akhir ke-2 Liga M3 dianjak ke 11 September

 

AMATEUR Football League (AFL) memaklumkan Tarikh Perlawanan Separuh Akhir ke-2 dianjak lewat sehari dari tarikh asal. Kedua-dua perlawanan penentuan ke Final Liga M3 2022 yang sebelum ini dijadualkan pada 10 September kini akan berlangsung pada keesokannya (Ahad, 11 September 2022).

Pengerusi AFL, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, keputusan ini dibuat bagi memberi laluan kepada Final Piala FA Malaysia kelolaan Malaysian Football League (MFL) melibatkan pertarungan di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) pada tarikh yang sama di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

“Saya rasa ini adalah keputusan yang sesuai kerana pada hujung minggu tersebut peminat bola sepak tanah air akan disajikan dengan perlawanan-perlawanan menarik Liga Malaysia dua hari berturut-turut termasuk perlawanan lain di Liga Super dan Liga Premier.

“Sememangnya Pentas Final Piala FA Malaysia menjanjikan persembahan terbaik kedua-dua pasukan akan tetapi, Separuh Akhir Ke-2 Liga M3 juga bakal menyaksikan persaingan sengit empat pasukan untuk menempah tiket ke final dan secara tidak langsung merebut peluang ke Perlawanan Play-off Liga Super 2023,” jelas Mohd Yusoff.

Kini, lapan Pasukan Liga M3 2022 iaitu Kinabalu Jaguar FC, KL Rovers FC, Armed Forces FC, BRM FC, Manjung City FC, PIB FC, Harini FT dan Imigresen FC akan berjuang sehabis baik pada suku akhir Ke-2 malam esok untuk menempatkan diri ke separuh akhir, 3 dan 11 September 2022.

Final Liga M3 2022 pula dijadualkan berlangsung pada 24 September 2022.

Author

Pilihan Editor