HomeSukanBenzema, Alexia Pemain Terbaik Tahunan UEFA

Benzema, Alexia Pemain Terbaik Tahunan UEFA

Oleh: WAHYUDIN AL-BALINGI

PEMAIN Terbaik UEFA 2021/2022 telah diumumkan dengan Alexia Putellas (Barcelona) dan Karim Benzema (Real Madrid) muncul pemain terbaik di benua Eropah.

Pengumuman Pemain Terbaik UEFA itu dibuat selepas selesai undian Liga Juara-Juara di Istanbul, Turki awal pagi Jumaat.

Tonggak tengah Barcelona itu memenangi kali kedua berturut-turut dengan mengalahkan pesaing Beth Mead (Arsenal) dan Lena Oberdorf (Wolfsburg).

Putellas membawa Barcelona menjuarai Liga Sepanyol, Copa de la Reina, dan Piala Super Sepanyol musim lalu, juga mencapai final Liga Juara-Juara walaupun tewas kepada Lyon. Putellas meledak 11 gol di Liga Juara-Juara 2021/2022, menjadikannya penjaring terbanyak.

Bagi kategori lelaki, Karim Benzema menjadi Pemain Terbaik UEFA. Penyerang veteran berusia 34 tahun itu musim lalu menjadi kunci kejayaan Real Madrid memenangi La Liga, Piala Super Sepanyol, Liga Juara-Juara, dan memenangi trofi Piala Super Eropah tahun ini.

Jadi, sukar untuk pemain asal Perancis itu tidak mendapatkan penghargaan ini. Dia mengakhiri musim lalu dengan menjadi penjaring terbanyak di La Liga (27 gol) dan Liga Juara-Juara (15 gol).

Ini adalah gelaran Pemain Terbaik UEFA yang pertama buat Benzema.

Author

Pilihan Editor