PIHAK Houthi di Yaman menggesa pejuangnya untuk memperhebatkan operasi ketenteraan terhadap kapal-kapal yang dikaitkan dengan Israel ketika Tel Aviv meneruskan serangannya di Genting Gaza selama lebih enam bulan.
Houthi menyasarkan kapal komersial di Laut Merah, terutamanya yang menuju ke Israel, sejak musim gugur lalu. Mereka berkata, serangan itu bertujuan untuk menekan Israel supaya menghentikan serangannya ke atas Genting Gaza, di mana lebih 34,000 orang telah terbunuh sejak Oktober.
Serangan itu mengganggu perdagangan antarabangsa di laluan perkapalan terpendek antara Eropah dan Asia, mendorong Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) melancarkan serangan udara balas terhadap sasaran Houthi di Yaman.
TV Al-Masirah yang bersekutu dengan Houthi memetik kenyataan biro politik kumpulan itu, yang menekankan penemuan kubur besar di hospital Nasser di Khan Younis, selatan Genting Gaza.
Sekurang-kurangnya 283 mayat ditemui dalam kubur besar di Hospital Nasser di Khan Younis selepas tentera Israel berundur dari bandar itu pada 7 April berikutan serangan darat selama 4 bulan.
Kenyataan itu mengulangi pendirian kumpulan itu dalam meneruskan sokongan kepada rakyat Palestin dan penentangan mereka di Gaza.