HomeBeritaMB Perlis tidak direman, dibenar pulang selepas beri keterangan kepada SPRM

MB Perlis tidak direman, dibenar pulang selepas beri keterangan kepada SPRM

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak melakukan tahanan reman terhadap Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, selepas beliau selesai memberi keterangan di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya pada Selasa.

Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis itu sebaliknya dibenarkan pulang, selepas keterangannya diambil mulai jam 10 pagi hingga 1 tengah hari.

“MB tidak direman. Telah dibenarkan pulang selepas selesai memberi keterangan,” menurut kenyataan di laman Facebook beliau pada Selasa.

Sebelum ini, Mohd Shukri hadir untuk memberi keterangan berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam pentadbiran Perlis, semenjak Perikatan Nasional (PN)  mengambil alih pentadbiran negeri itu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.

Dalam hantaran berasingan, Mohd Shukri memaklumkan bahawa, beliau akan terus memberi kerjasama yang baik kepada SPRM dalam membuat siasatan.

“Tiada apa yang perlu dibimbangkan. InsyaAllah.

“Terima kasih atas komen yang baik-baik, mendoakan urusan saya dipermudahkan. Semoga doa-doa yang baik ini juga berbalik kepada anda,” katanya.

Jumaat lalu, anak Mohd Shukri dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas ditahan bersama lima individu lain, bagi membantu siasatan dalam kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM600,000.

Menurut sumber, kesemua suspek dilepaskan dengan jaminan RM10,000 dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Kesemua suspek ditahan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu membabitkan pelaksanaan projek pembangunan prasarana seperti membaik pulih, menyelenggara, pembekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022.

 

Author

Pilihan Editor