HomeGlobalWanita robohkan rumah selepas dipaksa beli suami curang

Wanita robohkan rumah selepas dipaksa beli suami curang

SEORANG wanita bertindak merobohkan kediaman yang dibina di atas tanah ibu mertuanya, dalam kejadian di Kalimantan Selatan, dekat Kalimantan, Indonesia baru-baru ini.

Video kediaman mewah itu menjadi tular di media sosial, selepas dimuat naik ke laman Instagram @miralestari91.

Dalam video itu, wanita berkenaan dilihat memusnahkan sebahagian dinding rumah tersebut.

Sementara itu, baki batu-batan bangunan yang dirobohkan tersebut akan dibawa ke kampung halamannya di Kalimantan Timur.

Menurut wanita itu, dia sudah terlalu lama bersabar dengan kelakuan suaminya, yang didakwa sering kali berlaku curang bersama wanita lain.

Lelaki itu akhirnya menerima padah apabila ditangkap oleh penduduk tempatan, ketika sedang menjalin hubungan sulit dengan isteri rakannya sebelum dibawa ke balai polis.

Namun, wanita tersebut terpaksa menjadi penjamin atas perbuatan suaminya.

“Di kampung ini, dia sudah berlaku curang dengan 20 wanita berbeza. Wanita-wanita itu dibawa menaiki kereta dan motosikal hasil harta sepencarian kami,” katanya.

Selepas mengadakan perbincangan, pasangan suami isteri itu kemudian memutuskan untuk berpisah dan membahagikan harta sepencarian mereka.

Lelaki itu memperoleh kereta dan motosikal, sementara wanita tersebut mendapat kediaman berkenaan.

Namun, disebabkan kediaman itu dibina di atas tanah ibu mertuanya, dia dipaksa untuk membelinya dengan harga 300 juta Rupiah (RM88,073).

Berang dengan desakan itu, wanita tersebut kemudian bertindak merobohkan kediaman berkenaan.

Hal ini kerana, menurutnya, dia tidak mahu rumah yang dibina hasil kerja kerasnya itu dikongsi suaminya bersama wanita lain. – Agensi

Author

Pilihan Editor