SARANAN Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk memberikan autonomi kepada guru-guru dalam melaksanakan Kurikulum Persekolahan 2027 perlu dipandu dan dipimpin dengan sebaiknya.
Setiausaha Agung Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Mohd Azizee Hasan berkata, hal tersebut penting bagi memastikan guru mampu membuat keputusan dalam melaksanakan kaedah pengajaran, pemilihan bahan pengajaran serta penilaian dan pentaksiran murid.
“Ini juga demi pendidikan yang berkualiti dan mengelakkan keciciran murid,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Selain itu, bagi memastikan keberkesanan autonomi ini, Kongres berharap Kementerian Pendidikan (KPM) dapat menyediakan latihan dan kemahiran yang secukupnya, bagi memastikan aspek integriti dan kebertanggungjawab guru dimantapkan.
Katanya, KPM melalui Institut Pendidikan Guru juga harus menyediakan panduan model autonomi guru bagi memantapkan aspek pengajaran, ketelusan dan kebertanggungjawaban guru dalam ruang lingkup autonomi yang diberikan kelak.
“Langkah tersebut diharap dapat memberikan peluang guru menyerlahkan kreativiti di dalam pendekatan pengajaran untuk memastikan objektif pembelajaran tercapai.
“Ini kerana guru berdepan dengan keadaan yang berbeza, murid yang berbeza, kemudahan yang berbeza serta lokaliti yang berbeza.
“Justeru, guru mampu menilai dan mencari kaedah yang paling terbaik dan sesuai untuk memastikan proses pengajaran mencapai objektif,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Terdahulu, Fadhlina mengumumkan warga pendidik khususnya guru-guru, akan diberi autonomi lebih besar dalam pengenalan kurikulum baharu iaitu Kurikulum Persekolahan 2027 akan datang.
Kurikulum Persekolahan 2027 dibentuk berteraskan kurikulum berasaskan standard dan berorientasikan kompetensi, antara lain bermatlamat melahirkan murid yang berpengetahuan dan kompeten serta mencapai keseimbangan yang optimum dalam memberikan pendidikan berkualiti.
Kurikulum itu menyaksikan murid sekolah rendah dibahagikan kepada tiga tahap iaitu Tahap Satu (Tahun Satu dan Dua); Tahap Dua (Tahun Tiga dan Empat); serta Tahap Tiga (Tahun Lima dan Enam).
Pada masa ini, murid sekolah rendah dibahagikan kepada dua tahap iaitu Tahap Satu (Tahun Satu, Sua dan Tiga) dan Tahap Dua (Tahun Empat, Lima dan Enam).