HomeBeritaPengecualian syarat kemasukan warga China, India di bawah Pelan Liberalisasi Visa -...

Pengecualian syarat kemasukan warga China, India di bawah Pelan Liberalisasi Visa – JIM

KEMUDAHAN pengecualian syarat-syarat kemasukan bagi warganegara China dan India adalah salah satu inisiatif yang diumumkan kerajaan di bawah Pelan Liberalisasi Visa.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Ruslin Jusoh berkata, ia juga adalah arahan dalaman yang dikeluarkan bagi memperkemas proses kerja jabatan di pintu masuk.

Jelasnya, ini selaras dengan pelaksanaan pemberian pengecualian visa bagi tempoh 30 hari kepada warganegara China dan India mulai 1 Disember 2023 hingga 31 Disember 2024.

Justeru, beliau menegaskan bahawa, arahan yang dikeluarkan itu tidak menjejaskan integriti aspek-aspek keselamatan yang telah sedia ada dilaksanakan.

“Proses kemasukan masih mengekalkan semakan keselamatan, di mana kemasukan pelawat direkodkan dan semakan biometrik dilakukan di semua pintu masuk.

“Pelawat yang berada di dalam senarai hitam dan senarai syak akan dapat dikesan dan dilarang masuk,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata demikian merujuk kekeliruan yang ditularkan sesetengah pihak, berhubung pengecualian syarat-syarat kemasukan bagi warganegara China dan India di semua pintu masuk, yang dikeluarkan Pejabat-Pejabat Pintu Masuk Imigresen melalui arahan jabatan.

Mengulas lanjut, Ruslin berkata, pematuhan pengisian Malaysia Digital Arrival Card (MDAC) kepada semua pengembara yang memasuki Malaysia masih dilaksanakan.

Beliau berkata, sistem MDAC merekod maklumat keberadaan pelawat dan membolehkan JIM mengesan keberadaan mereka sekiranya diperlukan, terutamanya untuk tindakan-tindakan penguatkuasaan.

“JIM sekali lagi menegaskan tidak akan sesekali berkompromi terhadap aspek kawalan keselamatan.

“JIM terus komited dalam melaksanakan usaha berterusan bagi memudahcara dan melancarkan pergerakan keluar masuk pelawat, bagi menyokong pembangunan ekonomi negara,” katanya.

 

Author

Pilihan Editor