HomeBerita97 peratus tunai tanggungjawab undi awal pada PRK Kuala Kubu Baharu

97 peratus tunai tanggungjawab undi awal pada PRK Kuala Kubu Baharu

SEBANYAK 97 peratus atau 769 anggota polis, tentera dan pasangan masing-masing telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal, bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada Selasa.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, agensi itu merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukannya kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik.

“Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Penerangan, pengamal media dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas segala kerjasama dan sokongan yang telah diberikan kepada SPR,” menurutnya dalam kenyataan pada Selasa.

Proses pengundian awal berlangsung di dua pusat mengundi iaitu di Rejimen Semboyan Divisyen Ke-4 Infantri, Kem Erskine dan Dewan Serbaguna Maktab PDRM, yang mempunyai tiga tempat mengundi atau saluran.

Kedua-dua pusat mula dibuka pada jam 8 pagi dan ditutup pada jam 5 petang.

PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas), diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

SPR menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian bagi PRK Kuala Kubu Baharu.

 

Author

Pilihan Editor