HomeGlobalYouTuber Mukbang popular Tzuyang dedah penderaan, peras ugut oleh bekas teman...

YouTuber Mukbang popular Tzuyang dedah penderaan, peras ugut oleh bekas teman lelaki

Park Jung-won atau lebih dikenali sebagai Tzuyang, 27, seorang YouTuber Mukbang terkenal dengan lebih 10 juta pengikut, mendedahkan bahawa dia menjadi mangsa keganasan di tangan bekas teman lelaki, yang juga merupakan CEO agensinya.

YouTuber Tzuyang menjelaskan keganasan yang dialaminya di tangan bekas teman lelakinya pada Khamis. Foto: Channel YouTube Tzuyang

Tzuyang mendakwa bahawa dia diambil kesempatan sehingga 4 bilion won (RM13.5 juta) oleh bekas teman lelakinya itu. Walaupun dia telah membuat tindakan undang-undang, kes itu ditolak berikutan kematian bekas teman lelakinya baru-baru ini.

Pendedahan Tzuyang di saluran Youtubenya yang bertajuk “I Will Tell You Everything”, pada Khamis, dibuat sebagai tindak balas terhadap pendedahan yang dibuat oleh saluran YouTube, Garo Sero Institute, yang mendakwa bahawa Tzuyang telah diperas ugut oleh berbilang penjenayah siber, menggunakan masa lalunya sebagai ‘leverage’, untuk memeras wang daripada Tzuyang.

Tzuyang menggunakan peluang ini untuk menjelaskan masa lalunya. Dia berkata, kejadian itu berlaku semasa berkenalan dengan bekas teman lelakinya, Encik A, yang ditemuinya ketika dia seorang pelajar universiti.

“Saya cuba putus dengannya kerana dia menunjukkan tingkah laku ganas, tetapi dia mengancam untuk mengedarkan video haram yang diambilnya mengenai saya, jadi saya tidak boleh meninggalkannya,” katanya.

Dia seterusnya mendedahkan bahawa Encik A memukulnya dengan payung dan objek tumpul, dan dia terpaksa bekerja sementara di bar tempat Encik A bekerja.

“Setiap kali saya mahu berhenti, dia akan menggunakan kekerasan dan mengugut untuk mendedahkan maklumat kepada keluarga saya, jadi saya tidak dapat melawan kehendaknya,” kata Tzuyang.

Dalam tempoh ini, Tzuyang memulakan saluran mukbangnya, untuk mencari wang.

“Walaupun saya mendapat sedikit wang daripada saluran itu, dia mengambil semua wang tersebut dan meninggalkan saya tanpa wang yang cukup untuk membeli makanan pun,” katanya.

Apabila video-video Tzuyang mendapat sambutan yang menggalakkan, Encik A menubuhkan sebuah agensi dan memaksanya membuat kontrak yang tidak adil, membahagikan keuntungan sebanyak 70-30.

Tzuyang yang bertahan selama empat daripada lima tahun penyiarannya, akhirnya dapat melarikan diri dengan bantuan pekerja agensi.

“Pada mulanya, saya takut masa silam saya terbongkar, tetapi dengan sokongan pekerja, saya dapat memutuskan hubungan dengan Encik A,” katanya.

“Bagaimanapun, dia kemudian mula mengancam keluarga saya dan pekerja, dan membuat cerita yang tidak benar untuk disebarkan kepada YouTuber lain, yang menyebabkan saya memfailkan tuntutan mahkamah terhadapnya.”

Pada penghujung siaran videonya, peguam Tzuyang muncul dan menjelaskan mengenai kes itu dan mengemukakan bukti serangan dan ugutan yang dihadapi oleh Tzuyang.

Peguam-peguam Tzuyang menunjukkan bukti gambar keganasan ke atas Tzuyang. Foto: YouTube Tzuyang

Menurut mereka, Tzuyang telah memfailkan beberapa saman terhadap Encik A, termasuk tuntutan untuk pendapatan yang tidak dibayar, penamatan kontrak eksklusifnya, dan penentangan terhadap pendaftaran tanda dagangan.

Selain itu, dia telah menuntut dakwaan jenayah untuk serangan lazim dan keganasan seksual.

Peguam Kim Tae-yeon berkata, “Penderitaan Tzuyang sangat besar, dan buktinya sangat banyak. Terdapat 3,800 fail audio yang mengandungi butiran penganiayaan beliau. Sebagai peguam pembelaan jenayah yang telah mengendalikan banyak kes, ini merupakan satu kes yang amat berat.”

Selepas tuntutan mahkamah awal, Encik A telah meminta kelonggaran dan persetujuan dicapai oleh pihak yang terlibat, yang membawa kepada penarikan balik tuntutan mahkamah. Tetapi dia melanggar perjanjian itu, menyebabkan tuntutan mahkamah kedua dibuat oleh Tzuyang.

Peguam Tzuyang berkata bahawa, akan tetapi, kes kedua ini telah ditolak tanpa pertuduhan atau pendakwaan kerana kematian Encik A.

“Kami berharap tiada lagi spekulasi atau salah faham berhubung pihak terbabit, dan kami berharap dapat mengelakkan sebarang kemudaratan kepada keluarga mendiang yang ditinggalkan,” katanya.

Sumber: The KoreaTimes

Author

Pilihan Editor