IPOH: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah, akibat terkena bahan letupan buatan sendiri di Pusat Rekreasi Lata Kekabu, dekat Lenggong petang Isnin.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Amirudin Khairudin, 44, dan telah dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera parah dikenali sebagai Azlan Ali, 40, dan telah dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Taiping untuk menerima rawatan.
“Hari ini, kira-kira 3.12 petang Polis Gerik telah menerima laporan berkaitan kejadian tersebut dan bergegas ke sana untuk menjalankan siasatan. Setibanya di lokasi itu mendapati, seorang lelaki telah mati di tempat kejadian dan seorang lagi cedera parah.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata masyarakat dinasihatkan agar tidak menjalankan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang seperti menggunakan bahan letupan bagi tujuan penangkapan ikan dan tidak menyalahgunakan kawasan rekreasi sebagai lokasi aktiviti menangkap ikan.
Difahamkan kedua-dua lelaki itu sedang menangkap ikan ketika kejadian berlaku. – BERNAMA