HomeHiburanAwesome TV kecewa dengan masalah birokrasi Finas

Awesome TV kecewa dengan masalah birokrasi Finas

Oleh: FATTAH RAZZAQ

KUALA LUMPUR: Stesen penyiaran baharu di negara ini, Awesome TV, melahirkan rasa kecewa dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang menyebabkan lokasi program realiti pencarian bakat komedi, Awesome Raja Lawak terpaksa ditukar.

Awesome TV dalam satu kenyatan berkata, keputusan untuk menukar ke lokasi baharu di Studio De Showroom, Bandar Sri Damansara diambil setelah berurusan dengan pihak Finas yang dilihat tidak memberi sokongan yang wajar kepada pihak Awesome TV kerana kekangan prosedur yang tidak mesra industri.

”Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Profesor Dr. Md Nasir Ibrahim telah berusaha membantu sedaya upaya untuk memudahkan urusan Awesome TV.

”Namun begitu, isu birokrasi di Finas dilihat tidak membantu beliau berbuat demikian.

”Sebagai sebuah stesen penyiaran baharu di negara ini, pihak Awesome TV merasakan Finas yang merupakan salah satu pemain utama industri seni tanah air khususnya perlu berubah untuk turut sama membantu memacu kecemerlangan demi pertumbuhan dan kepentingan industri,” katanya kenyataan itu.

Awesome Raja Lawak bakal membuka tirainya secara rasmi jam 9 malam hari ini (Selasa) selama 10 minggu dari Studio De Showroom, Bandar Sri Damansara.

Sebelum ini dalam satu sidang media, Awesome TV telah mengumumkan untuk mengadakan persembahan mingguan Gelanggang Awesome Raja Lawak bakal dibuat dari Finas, Hulu Kelang.

Awesome TV telah mengumumkan 14 barisan peserta (merangkumi empat peserta solo, enam peserta duo dan empat peserta trio) dan tenaga pengajar beserta hos dan juri program.

Menduduki kerusi juri tetap Awesome Raja Lawak adalah Khir Rahman, Ayda Jebat dan Saiful Apek, manakala Ajak Shiro, Atu Zero dan Tauke menggalas tanggungjawab sebagai tenaga pengajar atau Mentor, dan Nizam Jentik-Jentik bergandingan bersama Chiwan Chilok akan mengemudi pentas utama sebagai Pengacara.

Format pemarkahan akan diadili 100 peratus oleh juri tetap, manakala penonton diberi peluang untuk memilih pemenang mingguan ”Man of the Match” menerusi undian dalam talian, di Instagram Awesome TV Malaysia.

Peserta yang mendapat undian tertinggi pada minggu tersebut akan diumumkan sebagai pemenang ”Man of the Match” di pentas Gelanggang Awesome Raja Lawak yang bersiaran pada setiap Rabu.

Dalam pada itu, peserta yang mendapat markah keseluruhan terendah pula akan disingkirkan.

Gelanggang Awesome Raja Lawak minggu pertama akan dibuka dengan tema Bebas yang mana kesemua peserta diberi peluang untuk mempersembahkan kreativiti masing-masing menerusi naskhah sketsa terpadu mereka.

Penyanyi popular, Hazama akan membuat persembahan pembukaan bersama Rody Kristal dan pemuzik iringan beliau.

Author

Pilihan Editor