HomeBeritaSikap diam Wisma Putra tak selesai isu perairan negara diceroboh - Alwa

Sikap diam Wisma Putra tak selesai isu perairan negara diceroboh – Alwa

KUCHING: Pelbagai pihak tampil menyuarakan kebimbangan berhubung isu pencerobohan China di ruang udara dan perairan Malaysia di Laut China Selatan yang jelas mencabul kedaulatan negara ketika ini.

Masing-masing bimbang andainya Wisma Putra berterusan mengambil sikap berdiam diri dan pelbagai spekulasi timbul sejak kebelakangan ini yang dilihat boleh memudaratkan rakyat di negara ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Alwa Dris berkata, sebagai negara kecil seperti Malaysia pada ketika ini mesti berani menyatakan pendirian berhubung isu keselamatan perairan negara.

Menurutnya, Wisma Putra tidak seharusnya mengambil sikap berdiam diri berhubung isu itu kerana ia hanya akan meningkatkan lagi kebimbangan rakyat di Sabah dan Sarawak yang berdepan pencerobohan itu.

“Wisma Putra harus lebih tegas dalam menangani isu pencabulan kedaulatan negara ketika ini, kita tidak sesekali berkompromi dalam perkara yang mencabul kedaulatan negara kerana pendekatan itu sahaja boleh memberi peringatan kepada yang lain.

“Isu ini juga sudah banyak kali dibangkitkan oleh wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun isu itu tiada penyelesaian konkrit malah terus berlarutan,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Alwa, sepatutnya sudah tiba masanya untuk tindakan diambil bagi menangani isu itu dan bukannya terus berdiam diri hanya kerana mahu menjaga hati segelintir pihak.

“Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 (2018) telah memberi amaran melalui angka pencerobohan oleh China sebanyak 89 kali bermula pada 2016 hingga 2019.

“Manakala media antarabangsa CNN pula pernah melaporkan Kementerian Luar China menggambarkan latihan ketenteraannya di Laut China Selatan diadakan dalam wilayah negaranya,” katanya.

Wilfred

Bagi ADUN Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin pula, sebagai wakil rakyat dirinya sering berdepan dengan aduan nelayan yang semakin tertekan kerana mata pencarian mereka terjejas dengan adanya aktiviti latihan ketenteraan di Laut China Selatan sehingga mereka berpatah balik.

“Ada juga kisah nelayan kita terpaksa beralih arah ke kawasan perikanan laut bergelora dan tidak begitu sesuai dengan kapasiti bot memandangkan tempat kebiasaan mereka kini ada banyak kapal peronda atau adanya latihan ketenteraan.

“Terdapat juga dakwaan datang pula nelayan haram dari China lakukan aktiviti perikanan di kawasan pertikaian Kepulauan Spratley ini.

“Apakah ini semua tidak membimbangkan kita semua? Kedaulatan kita diceroboh, rakyat kita hilang mata pencarian. Jangan diam diri yang akhirnya akan mudaratkan kita,” katanya.

Tegas beliau, kerajaan perlu mengambil pendirian tegas dengan tidak membiarkan aktiviti pencerobohan dan provokasi ketenteraan tidak berterusan berlaku di Laut China Selatan.

“Mengapa kita berdiam lagi, kita perlu lakukan sesuatu untuk tangani ini dengan segera. Setiap negara ada kedaulatan yang perlu dijaga dan dihormati.

Kita bukan hendak bergaduh atau lakukan provokasi sebaliknya tindak tanduk buli ini jangan kita biarkan,” kata Wilfred.

Author

Pilihan Editor