KUALA LUMPUR: Pulau Pandan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga, hancur badan dikandung tanah, budi yang baik dikenang juga.
Jika sebut mengenai pantun, orang Melayu khususnya di Melaka dan Johor suka berpantun. Jangan tidak tahu, masyarakat Baba dan Nyonya juga tidak kurang hebat dengan pantunnya.
Kebiasaannya, orang Johor akan menggunakan adat tol di hari persandingan dengan saling berbalas pantun. Orang Melaka kadang kala akan menggunakan pantun dalam kehidupan sehariannya.
Malangnya, adat berpantun semakin tenggelam kerana masyarakat kita jarang membudayakan amalan ini.
Bagaimanapun, seorang anggota bomba wanita yang cantik manis di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, menghidupkan amalan berpantun itu dalam kehidupan sehariannya.
Wartawan MEDIA VARIASI tertarik dengan video TikToknya, @thoyyibahtaib, yang sentiasa mempromosi amalan berpantun di hantaran akaunnya, khususnya ketika sedang bekerja atau berada di rumah.
Pemilik akaun yang dikenali sebagai Timbalan Penguasa Bomba II, Thoyyibah Taib, itu akan mendedikasikan serangkap dua pantun, dan menariknya ia bertemakan ucapan terima kasih, kepahlawanan, dan sedikit jenaka.
Thoyyibah ketika dihubungi berkata,
beliau berminat berpantun yang disifatkannya sebagai medium secara tidak langsung mendekati orang ramai.
Beliau yang bertugas di bahagian Bahagian Keselamatan Kebakaran, Cawangan Program Kesedaran Keselamatan Awam JBPM negeri itu berkata mahu mendekati orang awam dengan lebih dekat melalui pantun di TikTok untuk memberi kesedaran mengenai kempen keselamatan awam bomba.
“Pantun ni, adat Melayu. Dalam majlis ia ada menambah seri kepada majlis. Melalui pantun juga, kita dapatkan sampaikan hasrat hati, dan memberi nasihat.
“Saya berkecimpung di TikTok ini lebih kepada mempromosi unit kesedaran dan keselamatan awam bomba, untuk berkempen mendekati orang awam,” katanya yang sudah berkhidmat dengan kebombaan selama 17 tahun.
Anak jati Kedah Darul Aman itu turut berkongsi di sebalik pantun yang diluahkannya itu, rakan baiknya yang juga penulis pantun turut membantu menghasilkan rangkap indah.
Thoyyibah juga turut terlibat dalam bidang pengacaraan di jabatan berkenaan sejak 10 tahun lalu, namun masih mengutamakan kerja hakikinya.
Sebelum mengakhiri perbualan, Thoyyibah mendedikasikan beberapa rangkap pantun khas untuk anggota bomba seluruh Malaysia dan pihak MEDIA VARIASI.
Pantun kebombaan:
Gagah arjuna tempur di Champa,
Pantang menyerah silat bertingkah,
Biar bencana taufan dan gempa,
Wira merah siaga melangkah.
Gagah bertongkah umpama Panglima,
Takkan berundur sang perwira,
Keselamatan kebakaran tanggungjawab bersama
Agar semuanya selamat dan sejahtera.
Pantun khas MV:
Tanam bunga tepi halaman,
Cantik terhias jadi penyeri,
Terima kasih tuan budiman,
Untuk ruangan Media Variasi.