HomeBeritaKPDNHEP P. Pinang terima empat aduan berkaitan ayam

KPDNHEP P. Pinang terima empat aduan berkaitan ayam

GEORGE TOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang menerima empat aduan mengenai peniaga ayam yang tidak meletakkan tanda harga di premis jualan mereka setakat ini, selepas harga siling baharu diperkenalkan bermula 1 Julai.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri A. Mogan berkata berdasarkan pemeriksaan dijalankan pihaknya selepas mendapat aduan orang ramai yang juga pelanggan di premis terbabit mendapati selain tidak meletakkan tanda harga, peniaga juga tidak mempamerkan harga untuk caj atau upah potong ayam.

“Setakat ini satu daripada empat aduan itu telah diambil tindakan kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 iaitu kes kompaun kerana tidak pamer harga, premis tersebut di daerah Timur Laut, di sini manakala tiga lagi aduan masih dalam siasatan.

“Berdasarkan pemantauan kami peniaga dipercayai bertindak sedemikian kerana mahu menjual ayam dengan harga yang lebih mahal berbanding harga siling ditetapkan iaitu RM9.40 bagi setiap kilogram sebab itu mereka tidak letak tanda harga.

“Pengguna diminta terus membuat aduan jika mendapati peniaga menjual harga ayam lebih mahal berbanding harga siling yang ditetapkan manakala peniaga pula perlu meletakkan tanda harga termasuk (tanda harga) untuk caj atau upah potong supaya tidak berlaku kekeliruan kepada pembeli,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Jun lepas mengambil keputusan untuk tidak mengapungkan harga ayam sebaliknya meneruskan subsidi dan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung Malaysia mulai 1 Julai.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dilaporkan berkata Jemaah Menteri turut bersetuju untuk menetapkan harga siling runcit telur ayam pada kadar 45 sen sebiji bagi gred A, Gred B (43 sen/biji) dan gred C (41 sen/biji).

Sementara itu, Mogan berkata tiada masalah kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi dalam peket satu kilogram dilaporkan di Pulau Pinang, malah sehingga kini tiada aduan daripada pengguna.

Katanya, setiap hari pegawai penguat kuasa KPDNHEP negeri melakukan pemantauan bukan sahaja di kedai-kedai atau pasar raya malah di peringkat pengeluar, syarikat pembungkusan semula minyak masak bersubsidi dan pemborong dalam usaha memastikan keberadaan serta bekalan minyak masak mencukupi.

“Kuota bagi ‘repackers’ minyak masak bagi pek satu kilogram adalah sebanyak 3,434 tan metrik yang melibatkan 25 syarikat pembungkusan semula di seluruh Negeri Pulau Pinang dan pemeriksaan serta tinjauan kami mendapati tiada masalah bekalan minyak masak tersebut.

“Berdasarkan tinjauan kami dan saya sendiri yang turun ke padang mendapati bekalan minyak masak peket itu memang ada…bila letak di kedai atau pasar raya tidak sampai sejam sudah habis, malah pihak premis terlibat turut mengenakan kawalan iaitu mengehadkan tiga peket setiap isi rumah, namun pembelian berulang dalam kalangan pengguna tidak bertanggungjawab terutama peniaga yang mengambil kesempatan beli kerana murah,” katanya. – BERNAMA

Author

Pilihan Editor