HomeMV+PendapatBezakan fakta sejarah dengan agama, budaya dan kaum

Bezakan fakta sejarah dengan agama, budaya dan kaum

BEZAKAN fakta sejarah dengan agama. Bezakan fakta sejarah dan polemik perkauman.

Selagi kita gagal membezakan dua perkara berbeza ini, selagi itulah proses pembelajaran teladan dan sempadan tidak akan tercapai.

Kegagalan masyarakat kita yang berbilang etik dan kefahaman agama ini adalah menyamakan fakta sejarah dengan agama, budaya dan bangsa tertentu.

Sebagai contoh adat dan adab Melayu adalah sejarah yang menjadi resam kehidupan masyarakat dahulu kala di mana bangsa kita dipandang tinggi ketika itu.

Melihatnya dari perspektif agama tentulah ada yang berbeza pendapat tetapi memilih untuk memahami lebih baik daripada menghukum sesuatu yang kita tidak tahu tetapi diketahui oleh pihak lain.

Sedangkan dalam satu agama pun berlaku percanggahan pendapat, apatah pula dalam membentangkan fakta sejarah.

Malah sejarah Melayu sendiri pun sama ada secara bertulis atau lisan tidak boleh diterima oleh orang Melayu sendiri, ada yang kata khurafat, syirik dan sebagainya hanya kerana dirinya tidak faham atau tiada ada ilmu mengenainya.

Jadi kita tidak hairanlah apabila segelintir kaum Sikh menyatakan tidak setuju atau berpuas hati dalam filem epik Melayu Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, kerana ada babak fiksyen yang memaparkan kaum Sikh sebagai penjahat.

Menilai sesuatu bukan mudah kerana menghukum dan menyuruh, menghasut orang membenci sesuatu lebih mudah.

Pengguna Facebook, Jarjit Singh bagaimanapun menyeru kaum Sikh terima kebenaran watak yang dimainkan dalam filem Mat Kilau kerana sejarah telah membuktikannya.

Sepanjang tempoh tayangan, tiada orang Melayu luah perasaan benci terhadap golongan Sikh.

Kaum Sikh dinasihatkan menonton filem tersebut terlebih dahulu agar mata mereka lebih terbuka dan pemikiran yang sempit tidak dijumudkan.

Kenyataan itu dibuat berhubung dakwaan Persatuan Sikh Malaysia yang mendakwa filem boleh mengundang perbalahan kaum.

Terdahulu, United Sikhs Malaysia dilaporkan kurang senang dan terluka dengan potongan filem tersebut di mana ia memaparkan orang Sikh sebagai askar British yang mencederakan orang tua, kanak-kanak dan orang tidak berdaya sekaligus bertentangan dengan kod amalan agama Sikh.

Jarjit turut berkongsi satu pautan yang diterbitkan oleh web OrangPerak, bagaimana bermulanya sejarah kaum Sikh yang berkhidmat bersama British.

Menurutnya, artikel tersebut diterbitkan pada Februari 2019 iaitu sebelum terbitnya filem Mat Kilau.

“Kaum Sikh bukan sekadar menjadi tentera British di Malaysia tetapi juga merangkumi negara yang lain seperti Fiji, Hong Kong, New Zealand, Australia dan Kanada.

“Saya sudah menonton Mat Kilau, dan saya akur dengan watak lakonan di dalam Mat Kilau yang menunjukkan peranan yang dimainkan oleh Kaum Sikh, dan itulah kebenarannya walaupun 1001 pahit yang mesti ditelan,” katanya di Facebook pada Ahad.

Beliau juga meluahkan rasa kagum dengan filem-filem yang berkisarkan sejarah terutama melibatkan orang Melayu.

Katanya, di sepanjang filem itu ditayangkan hingga ke hari ini beliau belum pernah berhadapan dengan mana-mana individu berbangsa Melayu yang meluahkan perasaan benci terhadap Sikh walaupun sudah menonton Mat Kilau.

“Apa yang memberi kesedaran kepada mereka adalah pengorbanan tokoh mereka memperjuangkan tanah air Melayu.

“Begitulah sepanjang saya di pawagam, tidak ada pula orang Melayu yang meludah saya, atau mencaci maki saya tapi yang saya sedari setelah tamat dan habis menonton, orang Melayu tersenyum kepada saya dan saya membalasnya,” ujarnya sekaligus menjawab pertanyaan rakan-rakannya dari Sikh juga Melayu yang mahukan pandangan beliau berkenaan kenyataan United Sikhs Malaysia melibatkan filem Mat Kilau.

“Begitulah orang Melayu, begitu sayang kepada rakan-rakan mereka biarpun pernah menjadi musuh suatu ketika dulu,” katanya lagi.

Jarjit turut menasihatkan agar kaum Sikh terlebih dahulu menonton filem tersebut supaya mata mereka lebih terbuka dan pemikiran yang sempit tidak dijumudkan.

“Kita sepatutnya bersyukur dan kenyataan yang sepatutnya keluar dari United Sikhs ini adalah kenyataan maaf kerana pernah bersama British suatu ketika dahulu dalam menjajah Tanah Melayu dan berbuat kezaliman.

“Namun hari ini kamu dapat hidup bebas dan mencari rezeki di bumi berkat ini.

“Janganlah terlalu banyak provokasi hari ini, kerana sehari dua ini Melayu Islam sedang menyambut hari kebesaran mereka,” katanya sebelum mengakhiri hantaran tersebut dengan ucapan terima kasih orang Melayu.

Author

Pilihan Editor