HomeBeritaIsmail Sabri, Annuar Musa perlu jawab dakwaan PN

Ismail Sabri, Annuar Musa perlu jawab dakwaan PN

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tan Sri Annuar Musa perlu menjawab dakwaan bahawa kedua-duanya membelakangkan parti dalam perjanjian bertulis dengan Perikatan Nasional (PN).

Desakan itu dibuat bagi menjelaskan pendedahan sebahagian surat perjanjian persefahaman pembentukan kerajaan baharu PN atau Kerajaan Keluarga Malaysia, yang ditular oleh penulis blog, Raja Petra Kamarudin, di Facebook miliknya, semalam.

Raja Petra dalam dakwaannya mengesahkan bahawa Ismail Sabri dan Annuar Musa terlibat dalam perjanjian bahawa hari ini bukan kerajaan Keluarga Malaysia, tetapi kerajaan PN.

“Satu negara telah ditipu,” kata Datuk Lokman Noor Adam yang mendedahkan perkara berkenaan.

Malah, atas pendedahan itu, Lokman turut mendesak Perdana Menteri serta Menteri Komunikasi dan Multimedia itu supaya dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin UMNO.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu mendakwa kedua-duanya wajar dihadapkan ke lembaga terbabit kerana menipu Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan tidak berkata benar berhubung kewujudan perjanjian bertulis berkenaan.

“Ini mengakibatkan nama baik BN musnah ekoran terpaksa membentuk kerajaan bersama Jemaah Menteri Kabinet gagal.

“Rakyat juga mahu tahu apa isi kandungan perjanjian no 7, 8 dan 9 yang disembunyikan oleh Blogger PN, Raja Petra,” katanya yang turut berkongsi dua helai perjanjian tersebut di Facebooknya.

Bagaimanapun, Naib Ketua Pemuda UMNO Selangor, Amin Mohd Shukor menyifatkan isu berkenaan sekadar propaganda murahan semata-mata.

Beliau tidak menolak kemungkinan ia sengaja ditimbulkan demi meraih publisiti supaya pemimpin tertentu sentiasa dilihat relevan dalam landskap politik.

Berdasarkan isi kandungan surat perjanjian pada 17 Ogos 2021 itu, ia adalah perjanjian persefahaman bagi mengikat usahasama dan kesepaduan politik serta protokol untuk pembentukan kerajaan baharu PN.

Perjanjian persefahaman ini antara PN sebagai pihak pertama, dengan Ismail Sabri iaitu calon Perdana Menteri dan Naib Presiden UMNO sebagai pihak kedua.

Di dalam perjanjian itu, kedua-dua pihak ini bersetuju untuk mengekalkan kerajaan PN yang disepakati semasa menubuhkan Kerajaan Persekutuan pada bulan Mac 2020.

Di mana Tan Sri Mahiadddin Md Yasin dari pihak pertama bersetuju meletakkan jawatan Jemaah Menteri mulai 16 Ogos 2021.

Surat tersebut ditandatangani Mahiaddin, Ismail Sabri dan disaksikan Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Annuar Musa.

Pada pandangan penulis, keratan kandungan ini diragui kerana tidak didedahkan semua kandungan asal.

Sebagai ahli-ahli yang bijaksana berpolitik, kita tidak digalakkan untuk memberikan komen kepada kenyataan sesuatu keratan tanpa mengetahui keseluruhan kandungan perjanjian persefahaman itu.

Author

Pilihan Editor