HomeHiburanRakyat mahu lebih banyak filem sejarah Melayu

Rakyat mahu lebih banyak filem sejarah Melayu

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia sangat berbangga dengan pencapaian pengarah muda negara, Syamsul Yusof yang mampu mengembalikan semula semangat Melayu dalam jiwa menerusi filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.

Tinjauan MEDIA VARIASI menemu bual orang awam menonton filem berkenaan, gembira dan teruja kerana akhirnya, sebuah filem berasaskan sejarah Melayu yang hebat, dipersembah di pawagam.

Rata-rata daripada mereka, sanggup menonton filem terbabit kali keempat, malah ada yang semangat berkobar-kobar selepas sekian lama tidak menjejakkan kaki ke pawagam.

Shahrin Ramly, menonton filem itu buat kali keempat sekali gus membuktikan bahawa naskhah Syamsul berupaya mengubah persepsi orang awam terhadap pawagam yang sekian lama suram dengan cerita sejarah Melayu.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Operasi (COO) Foodspack, hadir bertanjak dan berbaju Melayu itu berkata tidak jemu menonton filem Mat Kilau kerana ia seolah-olah memberi satu semangat luar biasa dalam diri di samping mengimbau sejarah orang dahulu yang berani pertahankan tanah air walau berlaku pertumpahan darah.

“Ia seperti membakar, memberi semangat orang Melayu. Sekarang ini lah kita perlu cerita-cerita begini untuk menaikkan semangat anak muda yang terpesong jauh (terlupa sejarah).

“Kita kena ingat sejarah Melayu, akar kita, ingatkan anak muda supaya belajar silat. Silat itulah Melayu,” katanya ketika ditemui pawagam TGV, pusat beli-belah Sunway Putra di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Fazian Hassan, 61, yang hadir beramai-ramai bersama keluarga, mahu filem sejarah pahlawan dan srikandi Melayu diperbanyakkan lagi untuk dipersembah.

Katanya, kepentingan sejarah yang diolah dengan baik menerusi sesebuah filem sangat menarik minat pelbagai lapisan masyarakat dan berbilang kaum.

“Cerita beginilah, menunjukkan bahawa orang dahulu susah nak jajah Tanah Melayu, ambil Tanah Melayu. Orang muda sekarang tak faham macam kita ni, mereka ingat meriah-meriah sahaja.

“Buat lagi filem seperti ini, Dato Bahaman ke, Tok Gajah ke, kerana anak Melayu tak tahu cerita seperti ini. Bagi orang ingat semula,” katanya.

Fazian turut mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran supaya tulisan jawi dimasukkan semula ke dalam silibus pelajaran kerana ia sebahagian daripada Melayu.

“Orang Melayu patut tahu jawi. Ini tidak ada langsung. Alif ba ta pun tak tahu. Kali terakhir yang saya tahu, jawi diajar ketika saya di sekolah. Sekarang tak ada dah,” katanya.

Author

Pilihan Editor