HomeBeritaKJ syor tubuh Majlis Autisme Nasional perkasa intervensi golongan autisme

KJ syor tubuh Majlis Autisme Nasional perkasa intervensi golongan autisme

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengesyorkan penubuhan Majlis Autisme Nasional bagi memperkasakan pelaksanaan intervensi terhadap penghidap autisme secara holistik.

Khairy berkata, cadangan penubuhan itu dilihat daripada pelbagai sudut termasuk keanggotaan, pemegang taruh, butiran pangkalan data, sumber dana, intervensi, peluang pekerjaan, kebajikan untuk masa depan golongan berkenaan.

“Hasil daripada rumusan daripada bengkel, salah satu syor yang saya bersetuju dan akan bawa ke Jemaah Menteri, adalah penubuhan Majlis Autisme Nasional yang akan membabitkan pelbagai kementerian dan pemegang taruh.

“Ia juga boleh menjadi platform segala maklumat berkaitan autisme, selain membantu golongan ini sedang meningkat dewasa untuk menyumbang kepada negara, melalui kerjasama majikan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM), dengan memberi peluang dalam ekonomi dan pekerjaan kepada autisme yang produktif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media, pada program Bengkel Transformasi Strategi dan Memperkasa Penjagaan Autisme Spectrum Disorder (ASD) selama dua hari bermula 14 Julai 2022, anjuran Kementerian Kesihatan (KKM) di sebuah hotel di ibu negara, di sini.

Justeru, beliau turut mencadangkan majlis dianggotai oleh KKM, KSM, Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), peguam, dan ibu bapa.

Beliau juga berharap, penubuhan majlis itu sekali gus dapat membangunkan Klinik Autisme Berdaftar Kebangsaan (National Clinical Autisme Registry) yang belum wujud lagi dalam negara.

“Dengan wujudnya ‘registry’ ini, kes autisme terkumpul boleh didapati secara menyeluruh dalam Malaysia, dan membantu KKM serta kementerian lain membangunkan intervensi berkesan, tepat kepada individu di atas spektrum autisme ini,” katanya.

Beliau turut mencadangkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk terlibat dengan penubuhan majlis dan saling bertukar pandangan untuk membantu mencari kaedah memberi perlindungan insurans kepada individu autisme.

Author

Pilihan Editor