HomeMV+EksklusifHanya ada 301 pakar kecantikan berlesen LCP di Malaysia

Hanya ada 301 pakar kecantikan berlesen LCP di Malaysia

CYBERJAYA: Kredibiliti pakar kecantikan atau ‘beautician’ dalam negara dipersoal apabila amalan perubatan estetik hanya boleh dilakukan oleh doktor berdaftar dengan Surat Tauliah dan Keistimewaan (LCP) di bawah Kementerian Kesihatan.

Ini kerana, doktor yang juga pengamal perubatan berdaftar dengan LCP (Letter of Credentialing and Previleging) sahaja dibenarkan menjalankan prosedur estetik di premis berlesen.

Perkara ini didedahkan oleh Yang Dipertua Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Selangor, Datuk Dr Gavin Voon Shih Chin.

Beliau malah turut mendedahkan, kebanyakan orang tidak tahu bahawa pakar kecantikan bukan sahaja kurang latihan formal, tidak mempunyai lesen LCP malah menjalankan prosedur menyalahi undang-undang.

Lebih mengejutkan, katanya hanya 301 doktor perubatan estetik sahaja memiliki lesen LCP.

“Tetapi ribuan lagi pakar kecantikan yang terdapat di luar sana tidak memiliki LCP.

“Beautician, mereka buat suntikan muka, ini memang salah dari segi undang-undang sebab hanya doktor sahaja yang boleh, tetapi doktor yang perlu ada lesen khas LCP.

“Walaupun dia doktor, tetapi dia tiada lesen LCP, dia tidak boleh menjalankan prosedur estetik, jururawat pun.

“Yang saya tahu, setakat ini, 301 orang sahaja yang ada lesen ini sedangkan doktor di Malaysia beribu sama ada kontrak atau bukan kontrak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temuramah kepada MEDIA VARIASI pada Forum Perubatan, Kecantikan dan Kesihatan yang disertai 60 pemain industri kecantikan, perubatan dan kecantikan sekitar Lembah Klang di Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), di sini semalam.

Gavin turut mendedahkan, menerima aduan lebih 30 kes termasuk kematian, berhubung penyalahgunaan kepakaran estetik.

Justeru, beliau berharap dengan penganjuran forum berkenaan dapat menjelaskan kepada usahawan untuk mereka lebih memahami mengenai akta dan peraturan yang wujud dan ditetapkan oleh agensi kerajaan.

Mengikut Akta KKM, 586 (Akta Kemudahan Dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998), dan Garis Panduan Amalan Perubatan Estetik 2013, prosedur hanya boleh dilakukan oleh pengamal perubatan (doktor) berdaftar dengan Surat Tauliah dan Keistimewaan (LCP) di premis berlesen.

Perubatan Estetik atau Medical Aesthetic ialah istilah yang merujuk kepada amalan perubatan yang merangkumi dalam bidang khas untuk memenuhi kehendak estetik dan matlamat pelanggan.

Author

Pilihan Editor