KUALA LUMPUR: Program komedi muzikal, Muzikal Lawak Superstar Musim Ke-3 (MLS3) memberi peluang kepada muka baharu atau lama, mengetengahkan bakat mereka yang lain di pentas komersial sepanjang 10 minggu berlangsung di Dewan Sri Putra Bukit Jalil, mulai 22 Julai ini.
Penyanyi baharu, Beby Acha, bersyukur kerana diberi peluang menyertai MLS3 bersama kumpulan Joki dianggotai pelawak, Gomok Gahai dan Fuad Nasir, dan pada masa yang sama mencabar potensi diri.
Beby Acha atau nama penuhnya, Nur Aishah Md Shari, 31, berkata MLS boleh menjadi platform kepada bakat baharu atau lama melebarkan sayap ke bidang yang bukan di dalam ‘comfort zone’ masing-masing.
“Kebanyakan pelawak adalah pelawak sahaja tetapi belum tentu jumpa yang ada bakat tambahan dalam setiap penyanyi.
“Jadi, MLS3 ini dalam masa mereka mencari pelawak, dorang mencari juga penyanyi. Dalam tak sedar, kita dapat cari bakar baharu dalam kalangan penyanyi, iaitu boleh melawak, boleh juga berlakon, tiga dalam satu,” katanya.
Katanya ketika ditemu bual MEDIA VARIASI selepas pelancaran MLS3 di Kompleks Kraf Jalan Conlay, yang bakal menemui penonton tidak lama lagi.
Beby Acha juga adalah adik kepada Allahyarham Achik Spin, bernaung di bawah MVM Music, memilih genre muzik dangdut dan tempo rancak sebagai forte nyanyian.
Anak kelahiran Negeri Sembilan itu sebelum ini tampil menerusi single pertama, mempertaruhkan lagu duet bersama Azzara Band berjudul Jaga-Jaga.
Lagu ciptaan Ejai Aziz dan Kidz yang diterbitkan Harry Khalifah itu dilancarkan pada 6 April lalu.
Video muzik lagu ini sudah mencatat lebih 22 juta tontonan selepas dimuat naik di akaun Youtube MVM Music.