PETALING JAYA: Bukan mudah bagi anak remaja tampil berpakaian kemuliaan Melayu, di samping melontarkan suara, gaya dan penuh perasaan untuk mendeklamasikan sebuah puisi moden, di hadapan generasi gajet.
Bagaimanapun, puisi moden dikenali sajak, mampu menjadi medium persembahan pentas seni, hingga berupaya menimbulkan perasaan hiba dan sayu dalam setiap sanubari jiwa yang menghayati bait-baitnya.
Johan Deklamasi Sajak Koperasi Sekolah 2022 peringkat kebangsaan, Muhammad Adam Syakir Jalaluddin Ahmad, 17, dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Felda Trolak, sendiri hampir putus asa untuk meneruskan niat memasuki pertandingan kerana tahu bukan mudah untuk menghafal, menghayati dan pada masa yang sama, menggaya dan menyampaikan sajak dengan baik.
“Pada mulanya saya hampir tidak boleh buat kerana ada masa hanya dua hari untuk berlatih, disebabkan jadual sibuk. Rasa seperti mahu mengalah, tiada masa untuk menghafal sajak.
“Akhirnya, saya kembali bersemangat dan cuba buat sehabis baik, sampai ke tahap ini,” katanya.
Permata hati kepada ahli perniagaan, Jalaluddin Ahmad dan isteri yang juga Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Besi, Atnawati Abu Hanipah itu turut mengambil kesempatan untuk memberi nasihat kepada rakan sebayanya supaya tidak terus lupa dengan sastera Melayu.
“Saya nak beri mesej kepada semua pelajar, walaupun ada yang kurang atau tidak berminat dengan sastera Melayu, tetapi kita perlu terapkan semangat berbahasa Melayu dalam diri.
“Terapkan bahasa Melayu kerana ia bahasa kebangsaan kita,” katanya.
Muhammad Adam Syakir berkata demikian ditemani ibunya, dan guru pengiring, pada Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Deklamasi Sajak Koperasi Sekolah 2022 Peringkat Kebangsaan di Wisma Ungku Aziz, Kelana Jaya, di sini.
Majlis dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin, yang turut dihadiri Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fatah Abdullah.
Pada majlis itu Muhammad Adam Syakir membawa pulang replika cek berjumlah RM3,000 bersama trofi dan sijil penyertaan selepas berjaya menambat hati juri dengan sajak bertajuk Keluarga Koperasi.
Mengikut beberapa hasil carian, deklamasi berasal dari bahasa Latin yang maksudnya declamare atau declaim yang membawa makna membaca sesuatu hasil sastera yang berbentuk puisi dengan lagu atau gerak tubuh sebagai alat bantu.
Gerak yang dimaksudkan ialah gerak alat bantu yang puitis, yang seirama dengan isi bacaan.
Sajak pula berbeza daripada puisi tradisional seperti pantun, syair, gurindam, mantera, berdasarkan dua ciri, bentuknya yang bebas dan suasana moden yang dibayangkan melalui kata-kata yang digunakan.
Berikut adalah sajak yang dideklamasikan oleh Muhammad Adam Syakir.
KELUARGA KOPERASI
Keluarga
Paduan kata
Kulo
Ertinya saya
Warga
Maksudnya ahli
Ahliku
Ada aku
Ada kamu
Ada mereka
Ada kita semua
Kitalah keluarga
Keluarga koperasi
Kalau sudah mengaku keluarga
Tidak boleh tidak
Kebajikan ahlinya
Ayahanda wajib peka
Siapa perlu beras
Siapa kurang lauk
Mana sengetnya
Mana bocornya
Jangan nanti perahunya
Karam sekerat
Cubit peha kiri
Peha kanan juga serasa
Jika namanya keluarga koperasi Sebelum ke lidah
Akarnya harus muafakat
Runding sebelum bulat
Usah pandai-pandai buat
Kelak salah alamat
Salangkan lidah lagi tergigit
Adat senduk
Ke belanga terhantuk
Keluarga koperasi
Tentulah mengira
Untung rugi
Nan ayah dan nan ibu
Memayung anak-anaknya
Nan anak-anak
Menabur bakti
Berlaga bahu
Biar laba menderu
Nanti untungnya dibagi-bagi
Agar menambah gemilang koperasi
Awas
Jangan memancing
Dalam belanga
Usah seperti pinggan mangkuk Silap sedikit hendak terhantuk
Jadilah setangkai padi
Bernas semuanya
Kita ini syukur
Tumbuh di tanah gembur
Bumi ini sedia
Makmur Pusaka dari leluhur
Tanah tua ini
Menyimpan sejarah
Keluarga besar kita
Yang pucuknya terbina 1922
Maya kini
Keluarga besar kita
Terus gemilang
Memanjat matang 10 dekat
Berbunga Hasrat kami
Moga keluarga koperasi
Pacu terus pacu
Maju terus maju
Erat tambah dapat
Padat tambah kuat
Dengan coretan keramat
Bersekutu bertambah mutu
Siapa tahu
Jasa keluarga koperasi yang dasyat
Terjalin kembali pertalian erat
Terjambat semula banjaran Titi bangsa
Bangsa kita yang hebat
Dan tidak dapat tidak Kekal Berdaulat
Karya: Johan Deklamasi Sajak Koperasi Sekolah 2022, MRSM Felda Trolak, Muhammad Adam Syakir Jalaluddin Ahmad