HomeHiburanPakej versatil Melissa Kelvin hidupkan 'Seri Banun'

Pakej versatil Melissa Kelvin hidupkan ‘Seri Banun’

KUALA LUMPUR: Wajah Pan Asia, pandai menari dan menyanyi, berpengalaman lebih 10 tahun berlakon teater adalah kriteria yang melayakkan bakat muda, Melissa Kelvin, 23, di persada seni tanah air.
Pakej versatil dimiliki Melissa adalah ciri tepat yang dikehendaki pengarah produksi Muzikal Moyang Salleh bagi melayakkannya memegang watak Seri Banun.
Muzikal Moyang Salleh bakal dipentaskan buat julung kalinya di Istana Budaya dari 26 hingga 31 Ogos ini, selepas ia ditutup kerana pandemik.
Berbalik kepada kisah Melissa, gadis kacukan Melayu, India dan Cina ini berkata, dia
memang aktif berlakon teater sejak sekolah rendah.
“Mula-mula jadi penari, kemudian pelakon dan banyak diberi peluang untuk ‘cover’ (menyanyi) teater kanak-kanak sebelum ke teater festival.
“Dari situ, saya mula dikenali, mungkin tak ‘famous’ mana, tapi dari segi kualiti kerja, saya rasa pihak produksi dapat beri tawaran baik kerana mereka memerlukan pakej seperti ini,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Melissa ditemui selepas sidang media teater Muzikal Moyang Salleh dan majlis dirasmikan oleh Wakil YTM Datuk Undang Luak Jelebu, Datuk Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari Ismail Mohd Zin bersama Presiden Persatuan Teater Malaysia, Sakrani Shamsuddin.
Melissa bagaimanapun, turut berdepan cabaran untuk melakonkan watak Seri Banun kerana penguasaan loghat percakapan negeri adat perpatih itu, belum cukup kuat.
“Walaupun anak jati Negeri Sembilan tetapi loghat percakapan saya tidak ‘sepekat’ yang asal. Itu salah satu cabaran kepada saya.
“Dalam muzikal ini saya membawa watak Seri Banun yang menjadi rebutan Sultan Johor walaupun sudah menjadi tunangan orang bernama Teruna,” katanya.
Mengenali gadis yang cukup merendah diri ini dari dekat ini, katanya, watak lemah lembut, sopan santun dan beradab Seri Banun sangat berbeza dengan karakter sebenar dirinya.
“Saya seorang yang sangat periang tetapi kadang-kadang sedikit ganas. Jadi, dalam cerita teater ini, sebagai anak penghulu, sudah tentu  ada sifat sopan santun, lemah lembut dan beradab.
“Ia bukan mudah namun saya berpuas hati dapat membawa watak ini dengan baik,” katanya.
Pengarah teater muzikal berkenaan, Roslee Mansor sendiri mengakui belum menemui orang lebih sesuai memegang watak Seri Banun sehingga menemui Melissa.
Melissa berkata, dia menjadikan teater muzikal itu sebagai batu loncatan untuk menguji keupayaan dirinya dalam menjayakan watak yang dibawa.
“Saya faham, bukan senang untuk menari, berlakon, dan menyanyi pada masa yang sama, tapi itu adalah sebahagian daripada diri saya.
“Saya juga bersyukur kerana memenuhi kriteria yang mereka cari dan akan terus ke depan untuk menonjolkan bakat saya kepada orang ramai namun saya juga percaya, ada di luar sana mempunyai kemahiran sebegini cuma tidak ada peluang lagi,” katanya.
Sementara itu, Melissa mahu mengajak orang awam untuk hadir ke pementasan teater Muzikal Moyang Salleh sebagaimana sokongan kuat diberikan terhadap filem Mat Kilau di pawagam.
“Bagi saya, banyak perkara yang boleh diteladani. Salah satunya, seperti pengarah saya cakap, bukan semua tahu siapa Moyang Salleh.
“Ini pengajaran untuk kita khususnya orang muda macam saya, tidak tahu jalan cerita Moyang Salleh itu sendiri,” katanya.
Teater Muzikal Moyang Salleh,’ bakal dipentaskan buat kali pertama di Panggung Sari, Istana Budaya, akhir Ogos ini, selepas tempoh pandemik.
Berdurasi sejam 45 minit, dijadualkan berlangsung selama enam hari bermula pada 26 Ogos dan berakhir pada 31 Ogos dari 8.45 malam hingga 10.30 malam.
Pementasannya berkisarkan seorang legenda pemimpin Melayu bernama Moyang Salleh, yang mempunyai kesaktian luar biasa, yang mengetengahkan konsep perjuangan, pengorbanan, seni dan budaya masyarakat Melayu Negeri Sembilan suatu ketika dahulu.
Teater muzikal arahan Roslee dan terbitan Siti Salbiah Zahari itu dibintangi barisan pelakon terkemuka tanah air seperti Datuk Ahmad Tarmimi Siregar serta Khir Rahman.
Foto: IG Melissa Kelvin

Author

Pilihan Editor