KUALA LUMPUR: Semua aset ketenteraan perlu dihasilkan dalam negara, mengambil iktibar dari krisis Ukraine dan Rusia.
Pembelian dan pergerakan senjata adalah sukar jika dibeli dari luar.
Kita tidak tahu perubahan polisi negara-negara pengeksport, perkara itu boleh menjejaskan misi Malaysia.
Contohnya, Amerika Syarikat (AS) tak benarkan penggunaan pesawat pejuang Hornet F/A-18D yang sudah dibeli oleh Malaysia digunakan dalam peperangan.
Atas kesedaran itu, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Lestari Aero Industries Sdn Bhd mengambil inisiatif menghasilkan beberapa aset ketenteraan dan keselamatan menggunakan kepakaran anak tempatan.
Roket STAR-X Smokey Sam teknologi tanpa wayar yang dihasilkan oleh Lestari lebih praktikal berbanding roket GTR18 Smokey Sam ciptaan US yang masih menggunakan wayar.
Malah harga yang ditawarkan Lestari lebih murah 50 peratus berbanding harga yang ditetapkan negara kuasa dunia itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Lestari Aero Industries Sdn Bhd, Adj. Profesor Ahmad Joahari berkata, pihaknya juga menghasilkan sendiri roket yang boleh dilancarkan sejauh 12 kilometer dengan harga RM100,000 berbanding produk yang sama di jual pihak luar dengan harga jutaan ringgit.
“Negara kita ada cukup kepakaran sendiri, boleh menjimatkan wang negara dalam jumlah yang cukup besar.
“Malah lebih selamat berbanding kepakaran luar yang membuatnya kerana kita tidak tahu cara pemasangan sesuatu produk itu.
“Andai kata mereka letakkan sesuatu alat kawalan jauh yang boleh pantau lokasi kita bukankah itu lebih bahaya?” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Lestari Aero Sdn Bhd sebelum ini menyertai pameran pertahanan dan keselamatan, DSA dan NATSEC Asia di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa.
Dalam pada itu, Ahmad memaklumkan dalam industri ini, negara kita tertinggal jauh berbanding negara jiran lain.
“Indonesia sudah menghasilkan roket sendiri pada 1967 manakala kita baru hasilkan pada 2018.
“Lebih mencabar, tiada geran disalurkan kerajaan untuk industri ini semuanya adalah penat jerih sendiri,” katanya.