HomeBeritaAnnuar Musa jemput ketua demonstrasi kongsi idea

Annuar Musa jemput ketua demonstrasi kongsi idea

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menyindir penganjuran demonstrasi mengenai kenaikan harga barang kerana pada pendapatnya belum ada lagi sejarah dunia ini demonstrasi boleh kurangkan inflasi.

“Yang hendak berdemo, demolah, negara kita demokrasi tetapi saya belum jumpa lagi negara boleh kurangkan inflasi dengan cara ini.

“Yang kedua kita segan dengan negara lain, inflasi antara lapan hingga 10 peratus mereka buat kerja, kita baru 2.8 peratus sudah sibuk nak demo.

“Saya hendak tawarkan mereka ketua demo kalau ada masa datang jumpalah saya, saya hendak dengar idea, saya pun bukan pandai buat seorang, yang mana ada idea bagus nak bantu saya, saya hendak buat kerja.

“Macam minggu ini kita jumpa Bank Negara, pakar-pakar rujuk kita tahu inflasi bukan negara kita sahaja tapi berlaku di banyak negara, ia benda kompleks, yang penting ada usaha untuk tangani isu ini, ada perkara kita boleh kawal ada benda kita tak boleh kawal,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita di Anugerah Industri Ekonomi Digital Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Ahad.

Mengulas isu ada pihak mahu cepatkan pilihan raya katanya, lebih baik pihak berkaitan menumpukan kerja dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

“Saya rasa elok kita tumpukan yang bekerja kerana rakyat di luar sana banyak masalah.

“Tetapi bagi memilih yang berpolitik, negara kita bebas (demokrasi). Bagi kita (wakil rakyat), ada peranan dan tanggungjawab, kita bekerja. Benda ini tidak mudah, jadi lebih baik kita tumpu bekerja,” katanya.

Author

Pilihan Editor