HomePendidikanTun M nasihat pelajar jangan bergantung sepenuhnya pada guru

Tun M nasihat pelajar jangan bergantung sepenuhnya pada guru

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan pelajar agar tidak bergantung sepenuhnya ke atas guru kerana tidak semua guru ada teknik pengajaran yang baik dan ini akan memberi impak kepada pelajar.

“Namun melalui bantuan teknologi, ia akan membantu guru-guru ini menyampaikan bahan pengajaran secara meluas sekali gus membolehkan pelajar-pelajar ini mendapat peluang belajar yang sama.

“Pada masa yang sama perlu ada seliaan guru kelas secara fizikal untuk membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian bersempena meraikan kecemerlangan 335 pelajar
pada Majlis Anugerah Cemerlang SPM 2021, baru-baru ini.

Berkongsi jawapan dalam sesi wacana yang dikendalikan moderator Muhd Habibunajjar Sazali itu, Tun Mahathir yakin dalam menghasilkan pelajar cemerlang selain penggunaan teknologi, guru juga adalah faktor penting dalam memastikan cara penyampaian yang lebih berkesan.

Bersetuju dengan kenyataan teknologi sebagai keperluan dalam sistem pendidikan kini, namun menurut negarawan ini tidak semua boleh diaplikasikan secara mendadak kepada pelajar memandangkan perlu ada saringan dalam membentuk karakter yang sesuai.

“Kita tahu, teknologi bergerak laju dan hampir setiap hari ada penemuan baharu.

“Menjadi keperluan melengkapkan pelajar dengan kemahiran ini dengan pengetahuan yang sesuai dengan karakter.

“Kerana kita tidak mahu kemahiran yang ada ini disalah gunakan,” katanya

Mantan Perdana Menteri ini melihat kemajuan yang diraih negara luar melalui sistem pendidikan yang menggunakan teknologi terkini.

“Malaysia juga tidak ketinggalan berada pada landasan yang sama, namun
dalam mengoptimumkan kelebihan yang ada, perlu ada pembahagian kerja antara tenaga pengajar yang lebih efisien,” katanya.

Berkongsi mengenai ketegasanya dalam memastikan setiap anak-anak di negara ini mendapat pendidikan ketika di era pemerintahannya nyata membawa kepada perubahan Malaysia kini.

Tambahnya antara yang menjadi fokus utamanya juga bagaimana pendidikan juga tidak boleh disalurkan melalui cara yang sama memandangkan tahap penerimaan murid berbeza mengikut kemampuan.

Sementara itu, berkongsi pesanannya kepada semua pelajar di negara ini, Tun Dr Mahathir Mohamad, berharap agar ibu bapa dan guru menjadi pendorong utama kepada pelajar-pelajar ini untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang demi masa depan.

Menjadi amalan yang baik juga, jelasnya setiap pelajar ini harus mengulang kaji setiap pelajaran itu secara berulang kali dalam memastikan ilmu itu dapat difahami dengan lebih baik.

Pada majlis sama, Tun Dr Mahathir turut melancarkan inisiatif Malaysia Bangkit Belajar yang memfokuskan kepada pelajar tingkatan tiga hingga lima untuk mendapatkan pembelajaran secara percuma melalui pembelajaran dalam talian yang dikendalikan oleh PTTI.

Inisiatif ini juga sebagai antara cara menyokong rakyat di negara ini terutamanya pelajar yang datang dari keluarga berstatus B40, yang mana PTTI menyediakan pelbagai kemudahan penyampaian ilmu secara percuma melalui aplikasi PTTI Better Result.

Pembelajaran percuma ini boleh diikuti di laman web www.ptti.my

Author

Pilihan Editor