HomeBeritaPemain industri vape tempatan mohon kaji semula polisi GEG

Pemain industri vape tempatan mohon kaji semula polisi GEG

KUALA LUMPUR: Pemain industri vape tempatan memohon agar Kerajaan
mengkaji semula polisi Generational End Game (GEG) yang akan mengharamkan vape untuk sesiapa yang dilahirkan selepas 2007.

Menurut Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Ridhwan Rosli yang hadir bersama wakil-wakil industri dalam sesi libat urus bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin baru baru ini, menteri memberikan makluman berkenaan akta yang akan dibentangkan di mana ia akan melihat industri vape akhirnya dapat dikawal selia.

Menurutnya, itu merupakan sesuatu yang dinanti-nantikan oleh pemain industri tempatan.

“Menteri Kesihatan turut memberikan pandangan dan pendirian kerajaan berkenaan GEG yang akan mengharamkan vape sama seperti rokok untuk sesiapa yang dilahirkan selepas 2007.

“Setelah membuat perbincangan bersama beberapa pihak dalam industri, kami
berpendapat polisi ini perlu dikaji semula. Terutamanya dari segi pelaksanaannya yang perlu dikaji memandangkan ia melibatkan kesan ke atas akar umbi industri vape yang dibangunkan oleh usahawan tempatan,” katanya.

Ibrahim Morni, pengasas Malaysian Vaping Movement yang juga satu kumpulan aktivis dalam industri vape berkata, ramai dalam industri sememangnya 100 peratus menyokong pelaksanaan undang-undang kawal selia vape.

“Yang kami mahukan adalah peraturan untuk kawal selia. Polisi GEG pula adalah agak drastik kerana ia mengharamkan industri vape pada masa depan. Kami mohon perkenalkan peraturan dahulu dan sambil itu, keputusan berkenaan GEG untuk industri vape dikaji semula.”

“Saya percaya industri vape di Malaysia perlu diberikan pengiktirafan yang sewajarnya dan bukannya untuk diharamkan secara perlahan-lahan,” katanya.

Dalam pada itu, Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA) juga menyarankan supaya kerajaan mengkaji semula polisi GEG untuk vape.

Rizani Zakari, Presiden MVIA berkata, larangan tersebut harus dikaji semula dan ianya tidak boleh dibuat secara terburu-buru kerana ramai yang keliru dengan polisi GEG.

“Selama ini Menteri Kesihatan hanya berkata GEG ini adalah untuk menamatkan tabiat merokok dan mencegah generasi baru daripada memulakan tabiat merokok.

‘Tafsiran merokok bukannya menggunakan vape dan oleh itu ramai yang ingatkan polisi GEG itu tidak melibatkan vape. Hanya baru-baru ini, Menteri Kesihatan berkata GEG ini juga mengharamkan vape pada masa depan dan tidak boleh dijual kepada sesiapa yang dilahirkan selepas 2007,” katanya.

Menurutnya, ramai pemain industri yang tidak hadir dalam sesi libat urus dengan Menteri Kesihatan baru-baru ini tidak setuju dengan polisi GEG ini terutamanya pengusaha kecil dan sederhana dalam industri vape.

Perkara itu perlu dikaji semula kerana ia akan memberikan kesan kepada usahawan tempatan, tegasnya.

Author

Pilihan Editor