Oleh: FATTAH RAZZAQ
KUALA LUMPUR: Anak gadis kepada pelakon senior Azhar Sulaiman iaitu Iris Leona terus menimbulkan kontroversi apabila bapanya berkongsi tangkap layar mendedahkan ada wanita menuduh dia menjalin hubungan sulit dengan suaminya.
Wanita terbabit yang dikenali sebagai Nor Azira Othman mendakwa, Leona pergi bercuti bersama suaminya ketika dia sedang menjaga anak-anaknya di rumah.
Azira juga mendesak agar Azhar sebagai bapa mengembalikan wang yang telah dibelanjakan sewaktu percutian tersebut termasuklah bil hotel, tiket penerbangan dan makan minum.
Enggan nama baik anaknya dicemari, Azhar bertindak membalas mesej tersebut menerusi aplikasi WhatsApp bagi meminta bukti berhubung tuduhan dilemparkan kepada Leona.
“Saya Azhar, hubungi saya semula. Baik awak tunjukkan bukti!” tegas pelakon itu berdasarkan tangkap layar kiriman teks dihantarnya kepada nombor milik Azira.
Namun di hantaran Facebook miliknya, Azhar berkata, dia enggan lagi memanjang lagi isu itu dengan wanita berkenaan.
“Salam Nor Azira Othman. Saya tidak mahu memanjangkan perkara ini dengan awak pasal Leona. I wish you the very best in life and sentiasa di bawah lindungan Allah SWT selalu.
“Sekadar nasihat mesra untuk anda. Carilah seorang kawan baru yang mahir pasal Mediasoc ni ok….
“Dengan saya you terselamat sebab saya masih memikirkan kesihatan mental you. Kalau orang lain, pasti mereka akan saman you,” tulisnya.