KUALA LUMPUR: Seni irama tradisional Malaysia perlu diangkat semula seperti mana dilihat Melayu bangkit mengangkat semangat jati diri dalam filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.
Generasi alam maya hari ini mungkin sudah tidak sedar, elemen irama ini semakin tenggelam, dan hanya pendengar yang pernah mengenali dan arif dapat ‘menangkapnya’.
Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris atau mesra dipanggil Kak Ani, 54, agak terkilan apabila irama tradisional yang dahulunya mudah dikenal pasti oleh pendengar pelbagai lapisan masyarakat, kini kurang dikenali.
Katanya, puncanya kerana orang Melayu sendiri mudah memberi laluan sehingga menenggelamkan irama tradisional negara.
“Jika dahulu, 50/50 irama tradisional dan moden, tetapi sekarang jadi 10 peratus sahaja. Itu yang orang sedar tidak sedar, yang 10 peratus itu adalah irama tradisional.
“Kita tengok lagu Hindustan walaupun moden, tetap ada jati diri dalam muzik mereka tapi kenapa Melayu takut?.
“Sebab Melayu senang dijajah. Betul kata Mat Kilau, sebab terlampau memberi muka, jadi bila dijajah dia akan memberontak.
“Sampai satu ketika, orang sedarlah balik bahawa dia kena angkat irama Malaysia,” katanya.
Noraniza berkata demikian ketika ditemui MEDIA VARIASI di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), di sini.
Mengulas mengenai pelapis irama tradisional, Noraniza mengakui ramai penyanyi yang berpotensi seperti Wany Hasrita.
“Sebenarnya ada, cuma mereka tidak membawa produk (imej) irama Malaysia. Wany Hasrita, dia lebih kepada irama pop tetapi kalau Kak Ani dengar, Kak Ani tahu ada (elemen irama tradisional).
“Mungkin industri sekarang tidak cenderung kepada irama tradisional,” katanya.
Justeru, Noraniza berkata, dia tetap bertekad dengan perjuangan tradisinya untuk terus berusaha mengangkat irama tradisional.