OLEH: FATTAH RAZZAQ
KUALA LUMPUR: Bekas penyampai radio ERA FM, Johan dipilih menjadi penyampai baharu radio Hot FM bermula 2 Ogos ini bagi mengendalikan segmen Bekpes Hot, HaHaHa-Ngat,
Johan, 38, atau nama sebenarnya Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz bakal bergandingan dengan Fara Fauzana dan AG setiap Isnin hingga Jumaat bermula pukul 6 hingga 10 pagi.
Selain itu, pembaharuan turut dibuat membabitkan ‘tagline’ Kini Lebih Muzik Yang Hangat ditukar kepada Yang Hangat dan Terbaik.
Ketua Rangkaian Kandungan Hot FM & Molek FM, Nik Nor Azura berkata, pembaharuan dari segi barisan penyampai dan ‘tagline’ akan memberikan satu kelainan selain tampil lebih hangat dan terbaik.
“Hot FM tampil dengan pembaharuan sekali lagi dengan penjenamaan semula ‘tagline’ stesen dan kehadiran dua tonggak terbaru Hot FM iaitu Johan dan Fizi Ali yang pastinya akan memberikan satu kelainan pada barisan penyampai dan stesen Hot FM itu sendiri untuk tampil lebih hangat dan terbaik.
“Dengan nama segmen yang baru iaitu Bekpes Hot, HaHaHa-Ngat pastinya akan memberikan sesuatu yang berbeza kepada pendengar terutama pengisian dan kandungan segmen yang lebih segar, komedi yang melucukan, celoteh dan gelak tawa yang menghiburkan, juga mampu memberikan aura positif kepada pendengar.
“Perubahan ‘tagline’ ini dibuat adalah kerana elemen identiti jenama ini mampu memberikan gambaran yang menarik dan terbaik dari semasa ke semasa. Komponen daripada ‘tagline’ ini berupaya memberikan lebih banyak info mengenai pengisian dan kandungan yang dibuat oleh Hot FM,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Nik Nor Azura, pertukaran ‘tagline’ itu juga antara strategi untuk memastikan pendengar sentiasa lebih dekat dan ia bersesuaian dengan pengisian yang memfokuskan kepada setiap kandungan, barisan penyampai, muzik serta aktiviti lapangan yang diadakan Hot FM.
Selain Johan, bekas penyampai radio Suria FM, Fizi Ali antara wajah baharu stesen radio ini yang mana dia bergandingan dengan Fad menerusi segmen Hot FM Sembang Squad, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 3 petang hingga 7 malam.
Segmen petang tampil dengan pengisian yang lebih segar dengan cerita hangat masa kini dan menjadi geng drama pendengar untuk bercerita mengenai drama yang ditayangkan di TV3.
Bagi segmen Hot FM Non Stop Empat Lima bersama Ayu yang ke udara setiap Isnin hingga Jumaat bermula 10 pagi hingga 3 petang akan memfokuskan kepada 45 minit lagu bebas iklan, ‘music special’ dan ulangan segmen pagi.
Segmen malam iaitu Hot Flix (Isnin hingga Jumaat, jam 8 malam hingga 12 tengah malam) masih dikendalikan oleh Imran Aqil yang memfokuskan pendengar generasi muda, hiburan, interaksi bersama selebriti dan pendengar yang aktif dalam media sosial, ‘gamers’ serta ‘influencers’.
Selain itu, Hot FM akan mengadakan jelajah di semenanjung Malaysia bagi mendekati dan meraikan pendengar setia mereka yang dipenuhi dengan pelbagai aktiviti antaranya persembahan hebat artis tanah air.