HomeBeritaMenara 5G cetus barah cerita lapuk, tiada bukti - KKM

Menara 5G cetus barah cerita lapuk, tiada bukti – KKM

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan sehingga kini tiada data klinikal yang membuktikan menara teknologi generasi kelima (5G) boleh menyebabkan barah.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, ‘cerita’ menara telekomunikasi itu sudah lama dicanang sejak 20 tahun dahulu dan sehingga kini tidak data yang menyokong perkara itu.

Katanya, ia termasuk khabar angin berkenaan kesan radiasi daripada telefon bimbit yang diletakkan di telinga, boleh menyebabkan penyakit sama.

“Pembuktian mesti ada. Jadi kita ada data tak, nak tanya itu sahaja. Kalau orang yang hantar (dakwa) itu ada data menyatakan semua itu berserta kajian berkualiti yang diakui badan tertentu, mungkin betul.

“Tetapi sehingga kini, tidak ada. Jadi kita tak boleh dengar (tidak sahih). Perkara seperti inilah yang menakutkan orang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Tinjauan Kebangsaan & Morbiditi : Kesihatan Ibu & Anak, di Hotel Crystal, di sini.

Bagaimanapun, Dr Noor Azmi berkata, pihak KKM akan mengkaji dakwaan mengenai perkara itu berikutan ia diutarakan oleh pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kalau benda ni keluar (kesan 5G), kita akan selidik sejauh mana kebenarannya dan kita akan bertindak.

“Kita akan tengok keperluan (kajian) untuk melihat perkara ini,” katanya.

Berdasarkan laporan External Link dikeluarkan oleh Pejabat Persekutuan Tenaga Swiss, Switzerland, sebelum ini, mendakwa kajian mendapati teknologi 5G tidak memberi kesan negatif terhadap kesihatan malah kesan radiasi daripada telefon bimbit masih rendah.

Terdahulu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan @Toqqi mencadangkan pembinaan menara 5G jauh dari penempatan dan tidak lebih daripada 28 gigahertz jika benar radiasinya boleh memudaratkan.

Beliau berkata, masih ada kebimbangan dalam kalangan pengguna kesannya boleh menyebabkan kanser kerana dikatakan kelajuan 5G boleh capai 100 gigahertz namun belum ada kajian khusus di Malaysia.

“Kami bukan menentang teknologi, kami memang galakkan jaringan internet yang lebih laju perlu ada kajian oleh universiti atau kementerian terbabit agar boleh menepis persepsi umum kata ia tidak selamat.

“Doktor Aziz pernah beritahu jika kelajuannya lebih 60 gigahertz, ia spektrum yang bahaya boleh mendedahkan kepada kanser.

“Kami terima banyak pertanyaan tetapi tiada jawapan kerana tiada data sahih di negara ini, yang ada cuma kajian dari luar negara,” katanya.

Menerusi laporan media terdahulu, pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Tharek Abdul Rahman berkata, teknologi 5G menggunakan frekuensi radio tidak menghasilkan sinaran berbahaya seperti sinar X.

Katanya, orang ramai perlu faham bahawa radiasi ada dua jenis iaitu jenis mengion dan tidak mengion, yang boleh menyebabkan kanser adalah jenis mengion seperti sinar X dan radio aktif.

Author

Pilihan Editor