ISTANBUL: Penghantaran kedua bekalan bijirin dari Ukraine telah selamat tiba di pelabuhan Istanbul, menurut Kementerian Pertahanan Turkiye pada Sabtu.
Kapal Navistar mengibarkan bendera Panama, belayar dari pelabuhan Ukraine, Odesa ke Ireland dengan membawa 33,000 tan jagung, tiba di Istanbul kira-kira 2.00 petang waktu tempatan (1100 GMT), lapor Xinhua.
Sementara itu, kapal Rojen berbendera Malta dan Polarnet berbendera Turkiye, yang belayar dari pelabuhan Chornomorsk, masing-masing menuju ke Britain dan Türkiye turut berjaya sampai ke destinasi masing-masing.
Menurut kementerian itu, pemeriksaan ke atas Navistar telah disempurnakan oleh jawatankuasa bersama manakala dua lagi kapal menjalani pemeriksaan kemudian.
Kapal-kapal itu diperiksa untuk memastikan integriti kargo mereka sebelum dibenarkan berlayar.
Menteri Pertahanan Turkiye Hulusi Akar mengadakan perbincangan menerusi panggilan telefon dengan rakan sejawatannya dari Ukraine Oleksii Reznikov dan Menteri Infrastruktur Ukraine Oleksandr Kubrakov mengenai situasi terkini penghantaran bijirin pada Sabtu.
Kementerian Pertahanan Turkiye dalam satu kenyataan berpuas hati dengan proses penghantaran bijirin yang semakin pantas dan tahap kerjasama antara Pusat Koordinasi Bersama.
Kapal Razoni yang membawa bekalan bijirin pertama berlayar melalui Selat Bosphorus Istanbul pada 3 Ogos, menandakan kejayaan eksport pertama bijirin Ukraine ke pasaran antarabangsa selepas Türkiye, Rusia, dan Ukraine menandatangani perjanjian penting yang disokong PBB pada 22 Julai.
Ukraine masih mempunyai kira-kira 20 juta tan bijirin untuk dieksport, lapor Agensi Anadolu. – BERNAMA