BANDARAYA MEXICO: Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador pada Jumaat kesal dengan pertempuran antara kumpulan penjenayah sehingga menyebabkan 11 orang terbunuh, lapor Xinhua.
“Kejadian seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan saya harap ia tidak akan berlaku lagi, akibat dendam orang awam yang tidak bersalah menjadi mangsa.
“Ini bukan sahaja membabitkan perbalahan antara dua kumpulan, tetapi mereka mula bertindak menembak orang awam… ini yang amat dikesali,” kata beliau kepada wartawan di Istana Negara di Mexico City.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Keselamatan dan Perlindungan Rakyat Ricardo Mejia ketika memperincikan butiran kes berkata kejadian berpunca akibat pergaduhan membabitkan dua kartel jenayah Los Chapos dan Los Mexicles yang bergaduh di sebuah penjara di Ciudad Juarez, Chihuahua pada Khamis.
Keganasan berterusan apabila satu daripada kumpulan itu bertindak membalas dendam apabila anggota kumpulan mereka yang lain menyasarkan penduduk tempatan, sehingga menyebabkan kematian sembilan orang awam, termasuk empat pekerja stesen radio tempatan.
Setakat ini, enam anggota kumpulan Los Mexicles yang terlibat dalam serangan itu berjaya ditahan, menurut Ricardo Mejia. – BERNAMA