HomeBeritaKapal LCS wujud, MINDEF bawa media saksikan sendiri

Kapal LCS wujud, MINDEF bawa media saksikan sendiri

KUALA LUMPUR: Dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan kapal kapal-kapal Littoral Combat Ship (LCS), ‘ghaib’ sama seperti projek terowong Pulau Pinang tidak benar kerana ia masih wujud namun belum siap.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) hari ini membawa lebih 20 delegasi media ke Lumut bagi melihat proses pembinaan kapal-kapal LCS.

Ketua Eksekutif Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), Ir. Azhar Jumaat menjadi ketua yang mengetuai lawatan tersebut dengan membawa rakan media ke gudang peralatan LCS terlebih dahulu.

Dalam masa yang sama, beliau turut memberikan taklimat kepada mereka yang hadir mengenai reka bentuk kapal LCS yang ingin dibina.

Kapal pertama daripada enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) diharap dapat disiapkan dalam tempoh satu atau dua tahun lagi untuk diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata buat masa ini beliau tidak dapat memberi tempoh sebenar bagi kapal LCS untuk siap sepenuhnya kerana Kabinet memberi tempoh enam bulan kepada kementeriannya untuk memobilisasi usaha menghidupkan semula projek pembinaan kapal berkenaan.

Projek pembinaan LCS adalah perolehan terbesar dalam sejarah MINDEF, dengan kos keseluruhan sebanyak RM9 bilion. Kontrak bagi projek itu bermula pada 2013 dan dijangka siap dalam masa 10 tahun.

Khamis lalu, PAC dalam laporannya menyatakan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada BNS yang dilaksanakan secara runding terus namun tiada kapal yang diterima setakat ini.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, mendedahkan lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama.

Author

Pilihan Editor