ANKARA: Rusia melancarkan satelit Iran ke orbit pada Selasa dari selatan Kazakhstan, lapor Agensi Anadolu, memetik perbadanan angkasa Rusia.
Pelancaran itu dibuat hanya tiga minggu selepas Presiden Rusia Vladimir Putin dan Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei berjanji untuk bekerjasama menentang Barat.
Satelit penderiaan jauh Khayyam, dinamakan sempena penyair dan ahli falsafah Parsi Abad ke-11 Omar Khayyam, telah dilancarkan oleh roket Soyuz Rusia dari pelabuhan angkasa Baikonur ke orbit, kata Roscosmos.
Pelancaran satelit Iran adalah peristiwa penting dalam kerjasama Rusia-Iran, menurut ketua Roscosmos Yury Borisov.
“Kejayaan pelancaran satelit Iran itu menjadi peristiwa penting dalam kerjasama dua hala Rusia-Iran yang membuka jalan untuk melaksanakan projek baharu dan lebih berdimensi,” kata Borisov.
Sementara itu, Iran telah memperoleh data pertama daripada satelit Khayyamnya, menurut Agensi Berita Iran IRNA. Data itu termasuk pengukuran telemetri yang diterima oleh stesen darat Agensi Angkasa Iran, kata IRNA.
Satelit Iran direka untuk menjalankan penyelidikan saintifik, menguji teknologi saluran komunikasi antara satelit, mengukur tahap sinaran elektromagnet, dan menjalankan pengesanan jauh Bumi dan pemantauan alam sekitar. – BERNAMA