HomeBeritaSelamat pulang ke ‘negeri abadi’ Ikon Patriotik Sarawak, Pak Azahari

Selamat pulang ke ‘negeri abadi’ Ikon Patriotik Sarawak, Pak Azahari

Oleh: ARRIAN ZAYNE

KUCHING: Sarawak berduka hari ini dengan perkhabaran pemergian Ikon Patriotik Sarawak, Azahari Hamdan ke ‘negeri abadi’ sekitar jam 2.30 petang tadi.

Pemergian Allahyarham yang mesra dipanggil Pak Azhari, menjentik perasaan rakyat Sarawak ekoran warga emas sering kelihatan bersiar-siar dengan baju bendera dan menghias motorsikal berkuasa tingginya juga dengan bendera Sarawak atau bendera Malaysia bertepatan mengikut tema sambutan tarikh 22 Julai iaitu Hari Sarawak, Hari Kebangsaan (31 Ogos) dan Hari Malaysia, 16 September.

Semangat patriotik luar biasa pesara polis ini sering kali menjadi tarikan orang ramai hingga Allahyarham akan kelihatan tersenyum gembira apabila diminta untuk memberhentikan motosikal semata-mata memenuhi permintaan untuk bergambar dengannya.

Penulis pernah berpengalaman menemu ramah Pak Azahari empat tahun lalu ketika menemui Allahyarham sedang berehat di sebuah perhentian bas.

Ketika ditemui, Pak Azahari memberitahu aktiviti mengelilingi bandar raya Kuching dengan bendera menghiasi tubuh dan motosikal berkuasa tingginya bermula sejak tahun 2001 lagi.

“Saya akan mengelilingi bandar raya Kuching ini setiap hari tanpa jemu sebagai ajakan psikologi kepada golongan muda untuk turut bersemangat mengibarkan bendera,” katanya ketika ditemui penulis pada 14 Ogos 2018.

Dalam pertemuan singkat itu, penulis turut terkesan melihat riak wajah Pak Azahari ketika Allahyarham memberitahu dirinya rela hati bertindak sedemikian.

“Saya berasa amat sedih kerana semakin kurang bendera dikibarkan walaupun dalam musim bulan kemerdekaan,” ujar Allahyarham ketika itu sambil mengakui kebelakangan ini semangat mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sarawak semakin pudar dalam kalangan masyarakat.

Walaupun mengeluarkan duit sendiri untuk membeli bendera, menjahit baju dan menghias motosikal, inisiatif berkenaan tidak pernah membebankan warga emas itu.

Oleh yang demikian, Allahyarham pernah memberitahu penulis bahawa selagi nyawa dikandung badan, Allahyarham akan tetap terus mengelilingi bandar raya Kuching bagi menaikkan semangat serta menyemai kesedaran kepada semua.

Terdahulu, sempena sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai lalu, Allahyarham turut kelihatan bersiar-siar setiap hari mengenakan baju bendera Sarawak dan membaluti motosikalnya dengan bendera Sarawak.

Terima kasih Pak Azahari kerana pernah menghiasi bandar raya Kuching dengan semangat patriotikmu yang luar biasa.

Semoga rohnya ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman, aamiin.

Author

Pilihan Editor