KUALA LUMPUR: Pelumba negara, Syarifuddin Azman atau lebih mesra dipanggil Damok, diberikan tiket wild card untuk kelas Moto3 Kejuaraan MotoGP Dunia apabila Grand Prix (GP) Malaysia kembali ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai pusingan kedua terakhir, Oktober ini.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, secara rasmi melancarkan edisi ke-23, yang dijenamakan sebagai GP Petronas Malaysia, di Dewan Filharmonik Petronas, di sini, hari ini.
GP Malaysia 2020 dan 2021 telah dibatalkan kerana pandemik COVID-19 global dan sekatan berkaitannya dan perlumbaan tahun ini akan diadakan dari 21-23 Okt.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, dalam ucapannya, mengumumkan bahawa Damok telah diberikan tiket wild card untuk kelas Moto3 tahun ini.
Pelumba berusia 21 tahun itu, yang kini menduduki tangga kedua keseluruhan pada kejuaraan dunia FIM Junior GP 2022, sebelum ini menerima tiket wild card musim ini untuk GP Portugal (22-24 April), GP Sepanyol (29 April-1 Mei) dan GP Catalunya (3-5 Jun) selepas penampilan sulung di Aragon, Sepanyol, tahun lalu.
“ Tahun ini menandakan tahun pertama Petronas sebagai penaja utama, selepas 10 tahun bersama Shell. SIC bersedia untuk mengalu-alukan semua peminat sukan permotoran tempatan dan antarabangsa ke Sepang dan kami akan memastikan kualiti GP Malaysia berada pada tahap tertinggi.
“Berikutan ketiadaan pelumba negara bersaing musim penuh MotoGP, saya percaya Damok akan menjadi tarikan utama untuk peminat MotoGP tempatan memberi sokongan padu kepada pelumba negara berada di grid. Dia akan menunggang bersama pasukan Vision Track Racing Team dan sasaran saya untuk dia muncul antara 10 pelumba terbaik,” katanya.
Azhan Shafriman berharap penyertaan Damok dan promosi Merdeka yang dilancarkan hari ini akan membantu meningkatkan jualan tiket, yang perlahan, sejak ia mula dijual pada April.
Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Datin Anita Azrina Abdul Aziz, berkata, pihaknya merancang mengadakan beberapa siri pengalaman mendebarkan mesra keluarga di dalam dan luar trek termasuk di sekitar Pusat Bandaraya Kuala Lumpur (KLCC), di sini.
“Penaja utama GP menawarkan peluang kepada jenama Petronas untuk berkembang dan membantu menggiatkan semula pelancongan sukan Malaysia dan menyediakan platform unik untuk kami menampilkan kepada dunia, Petronas Primax – bahan api rasmi untuk perlumbaan Moto2 dan Moto3,” katanya.
Tiket promosi khas Hari Kebangsaan boleh dibeli di www.sepangcircuit.com mulai hari ini hingga 31 Ogos, yang merangkumi tawaran ‘beli 3 percuma 1,’ beli 7 percuma 3,’ dan pakej keluarga dua dewasa dan dua kanak-kanak.
Di samping itu, motosikal Yamaha NVX dan Y15ZR dengan edisi terhad SIC bernilai RM22,000 menanti pemenang cabutan bertuah. – BERNAMA