KUALA LUMPUR: Entah apa puncanya, Sistem Laporan Polis Bersepadu (iPRS) tergendala lagi yang menyebabkan orang ramai gagal membuat laporan polis.
Orang ramai terpaksa menangguhkan sebarang urusan membuat laporan polis kerana situasi berkenaan.
Seorang pengadu yang juga pakar keselamatan siber yang enggan didedahkan namanya menghubungi MEDIA VARIASI memaklumkan kejadian itu pada jam 10 pagi tadi mempersoalkan kecekapan dan pertahanan sistem berkenaan.
“Saya datang untuk buat laporan polis selepas kereta saya dilanggar, polis di kaunter kata sistem iPRS down di seluruh negara dan tidak tahu sehingga bila boleh selesai.
“Adakah pertahanan siber sistem polis lemah kerana ada laporan media mendakwa kadar serangan meningkat ke atas organisasi khususnya agensi kerajaan?.
“Atau kerana jaringan internet lemah ke atau kerana peralatan dan kabelnya lama?” katanya.
Sumber polis memberitahu sistem iPRS terjejas di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
“Sistem utama di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman juga tergendala (system down).
“Laporan polis boleh dibuat selepas sistem OK, ketika ini boleh buat laporan secara manual bagi kes-kes kecemasan, yang boleh ditangguh boleh datang kemudian hari,” katanya ketika dihubungi MEDIA VARIASI.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya adakah ada serangan siber terhadap sistem itu.
Untuk rekod, Sistem Laporan Polis (PRS) yang ditukarkan kepada iPRS yang berkonsep teknologi hijau dan perisian terkini mengalami beberapa kali siri gangguan tahun ini.
Mac lalu media melaporkan gangguan yang menyebabkan sistem iPRS terganggu berlaku sehingga lebih seminggu.
Sewajarnya pembangunan modul yang lebih mesra pengguna bagi memudahkan serta mempercepatkan penerimaan laporan serta capaian maklumat.