KUALA LUMPUR: Tayangan gala Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan di Indonesia, pada 26 Ogos depan tetap diteruskan walaupun tanpa kehadiran teraju utamanya, Datuk Adi Putra Abdul Halim.
Penerbit dan Pengarah Urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mt Dali berkata, artis dan kru akan turun ke Jakarta pada 25 Ogos dan 26 Ogos depan.
“Program promo dan tayangan akan tetap diteruskan.
“Artis lain seperti Fattah Amin dan Beto akan ke sana,” katanya ketika dihubungi MEDIA VARIASI.
Beliau diminta mengulas isu pendedahan Adi Putra yang mendakwa gagal menghubungi Studio Kembara yang memaksanya menggunakan medium media sosial.
Difahamkan, luahan tidak puas hati itu berkaitan tayangan filem tersebut di Jakarta, Indonesia selain memaklumkan tidak lagi berminat untuk menyertai aktiviti promosi Mat Kilau di negara lagenda Ratu Loro Kidul itu.
Susulan itu, wakil penerbit Studio Kembara cuba menghubungi sejak malam Jumaat dan Sabtu tetapi tidak dijawab Adi.
Abdul Rahman sekali lagi menegaskan ketegangan antara mereka tiada kaitan dengan agihan bonus kerana pihaknya belum menerima keuntungan hasil jualan tiket mencecah RM100 juta itu.