LABUAN: Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menawarkan program Diploma Kejuruteraan Proses (Operasi Minyak dan Gas) kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bertujuan melahirkan modal insan berkualiti yang mampu menyumbang kepada industri hidrokarbon.
Menurut maklumat di laman sesawang fakulti berkenaan, program tiga tahun itu sebahagian besarnya merangkumi aktiviti utama dalam industri minyak dan gas.
Antara peluang pekerjaan yang boleh diterokai menerusi program tersebut adalah sebagai operator serta kontraktor minyak dan gas; juruteknik dan penyelia proses; penolong jurutera; juruteknik awam; operator loji dan mesin; pegawai kesihatan dan keselamatan dan di sektor awam.
Calon hendaklah memenuhi syarat am kemasukan ke universiti selain sekurang-kurangnya mempunyai tiga kepujian (Gred C/6C) dalam SPM bagi mata pelajaran seperti kimia, biologi/lukisan kejuruteraan dan matematik/matematik tambahan; dan sekurang-kurangnya lulus (Gred E/8E) bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris; serta calon tidak mempunyai kecacatan fizikal yang menyukarkan kerja-kerja praktikal.
Program tersebut mampu melahirkan individu separuh profesional yang cekap dalam dalam bidang masing-masing serta menyumbang kepada pembangunan mampan melalui teknologi tempatan yang inovatif bagi memenuhi keperluan masyarakat dan negara.
Pada akhir pengajian, lulusan program tersebut mampu mengenal pasti dan menganalisis dengan baik masalah dalam kejuruteraan menggunakan kaedah terakam khusus untuk operasi berkaitan kejuruteraan minyak dan gas.
Mereka juga diharapkan dapat menggunakan pengetahuan dalam bidang matematik dan sains gunaan, serta asas kejuruteraan dan prinsip operasi kejuruteraan minyak dan gas sebagai penyelesaian kepada masalah kejuruteraan. – BERNAMA