KOTA KINABALU: Seramai 200 anggota dan pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah hari ini menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) sebagai mengenang jasa serta bakti mereka dalam memelihara keamanan negara.
Penyerahan pingat kepada 100 anggota polis lain-lain pangkat dan 100 pesara itu disempurnakan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah dalam satu majlis istiadat penganugerahan di sini.
Richard Ampawi Kimbin, 72, ketika ditemui Bernama menzahirkan perasaan teruja dan berterima kasih kerana terpilih sebagai antara penerima pingat meskipun telah lama bersara.
Beliau yang pernah bertugas sebagai polis hutan bagi mencari saki-baki komunis di Sarawak pada tahun 1971 juga terharu dengan pengiktirafan itu yang disifatkannya cukup bermakna.
“Pingat ini mempunyai makna besar kepada saya. Apabila anak cucu melihat pingat ini nanti dan bertanya mengenainya, saya akan menceritakan kepada mereka pengalaman serta peristiswa menarik sepanjang saya bertugas sebagai polis,” katanya yang berasal dari Tuaran.
Richard, yang mempunyai lima anak serta 10 cucu, turut menasihati generasi muda Malaysia khususnya di Sabah untuk terus mempertahan keamanan dan kesejahteraan negara selain tidak takut atau malu menyertai pasukan polis.
Marina Mairon, 69, dari Penampang melahirkan rasa syukur dan gembira kerana jasa dan komitmennya sepanjang berkhidmat sebagai anggota polis lebih 30 tahun dihargai.
“Saya juga tidak menyangka walaupun sudah bersara tetapi saya terpilih menerima pingat ini. Syukur Alhamdulillah,” katanya sambil menitipkan pesanan kepada anggota polis wanita yang masih berkhidmat di seluruh negara agar sentiasa berdedikasi dan berintegriti dalam menjalankan tugas.
Jamaludin V.A Abdullah, 54, dari Papar pula berasa bangga kerana kontinjen polis Sabah menghargai segala pengorbanannya dan menyifatkan pingat itu sangat bermakna apatah lagi beliau pernah bertugas dalam pasukan forensik sewaktu peristiwa pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu pada 2013.
Beliau, yang mula berkhidmat sebagai anggota polis seawal usia 19 tahun, turut menasihati generasi muda supaya menghormati profesion itu kerana mereka sentiasa bersiap siaga di barisan hadapan walaupun terpaksa meninggalkan keluarga tersayang bagi menjaga kedaulatan dan mempertahan keamanan negara. – BERNAMA